Friday, May 29, 2020

MB Kedah: Sanusi teladani kepimpinan Ustaz Azizan

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Pendekatan kepimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah menjadi ramuan, resepi dan pegangan dalam melaksanakan tanggungjawab, demikian imbas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau menimba pengalaman berharga apabila menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah semasa Almarhum menerajui Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai oleh PAS bersama PKR dan DAP selama sepenggal pada 2008 hingga 2013.

Ceritanya, penegasan pertama Almarhum bila menjadi kerajaan adalah menolong anak yatim, ibu tunggal orang miskin sebagaimana dikisahkan Allah S.W.T di dalam al-Quran mengenai orang Madinah menyelamatkan warga Makkah dari kezaliman pemerintahan.

Imbasan penuh nostalgia dan pengajaran itu disebutnya dalam satu temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di sebuah hotel di Ibu Negara, di sini baru-baru ini.

“Itu yang Ustaz tunjukkan. Dan usaha Ustaz Azizan selepas itu bina KUIN (Kolej Universiti Insaniah) kemudiannya menjadi UNIShams (Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah) sekarang ini. Ini adalah model Ustaz Azizan untuk ubah Kedah.

“Apa pun perubahan yang nak dibuat dalam konteks negeri Kedah, mesti terasnya ilmu, terasnya mesti pendidikan. Buka peluang seluas-luasnya untuk rakyat Kedah mengaji. Dan mengaji itu tak payah pergi jauh-jauh, mengajilah di Kedah.

“Kita bawa semua ilmu daripada jauh-jauh ini mai duduk di Kedah, mengaji sini. Dekat, tak payah pergi jauh. Ini saya rasa style, asas yang diletak oleh Ustaz Azizan. Dan sekarang ini sedang berlaku proses itu,” terang beliau yang juga ADUN Jeneri.

Bentangnya, langkah penting Almarhum sebagai Menteri Besar juga adalah berjimat cermat di mana Ustaz Azizan sangat menghalusi perbelanjaan negeri kerana prinsipnya bahawa wang kerajaan adalah amanah tidak sewenangnya boleh dibelanjakan.

“Dia kata kalau duit aku, aku tak kedekut. Tapi bila melibatkan duit orang, dan duit orang lain adalah amanah, kita mesti cermat, jangan membazir, jangan belanja ikut dan. Kena detail belanja itu apa, ada yang lebih murah, kena cari lagi, mungkin ada yang lebih murah.

“Dengan itu saya pun fikir, kerajaan negeri pada masa itu baru faham jimat cermat itu apa. Bagaimana proses jimat cermat itu patut berlaku. Ustaz tak jalani hidup yang lebih-lebih, dia hidup biasa saja. Bila hari dia meninggal, dia tak ada harta yang dibeli dengan duit dia daripada gaji Menteri Besar, tak ada.

“Dia meninggalkan pusaka untuk anak-anak dia itu daripada harta yang dia beli masa dia jadi pensyarah, bukan dibeli masa dia jadi Menteri Besar. Tak ada,” ceritanya menyerlahkan penghayatan terhadap tokoh ulamak dikagumi itu.

Sanusi turut menyoroti ungkapan paling besar dalam hidupnya yang dititipkan Almarhum iaitu bekerjalah di waktu singkat untuk rehat di waktu panjang, merujuk waktu singkat itu dunia dan waktu panjang ialah akhirat.

Jelasnya, mesej itu menyeru untuk bekerja sungguh-sungguh semasa hidup di dunia supaya di akhirat esok menikmati rehat, selain pentingnya setiap orang teguh memikul tanggungjawab berdasarkan jawatan atau kedudukan dipegangnya.

“Dia (Almarhum) kata, kalau aku fikir tentang diri aku, tentang selain daripada tanggungjawab aku sebagai Menteri Besar, pada ketika aku dibayar gaji sebagai MB, kalau aku fikir untuk kepentingan diri aku berdosa. Kita berdosa kerana ambil kesempatan waktu kita dibayar gaji Menteri Besar itu fikir untuk benda lain, di luar tanggungjawab kita, kita berdosa.

“Saya nak kata apa, (inilah) ramuanlah, ataupun resepi ataupun pegangan yang patut sebenarnya patut dipegang oleh semua orang. Bukan sahaja Menteri Besar, siapa-siapa pun dalam premis apa pun.

“Kalau kita kerja polis, kalau kita bertugas, tiba-tiba kita berfikir di luar daripada tanggungjawab kepolisan, saya rasa ini satu benda tak betullah,” ujarnya menyeru dan mengemukakan contoh. – HARAKAHDAILY

No comments: