PETALING JAYA: Keahlian Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan
Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman dalam PPBM ditamatkan selepas mereka
mengingkari parti dengan
menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Dalam surat pemecatan bertarikh hari ini yang dilihat FMT, keahlian Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dalam parti itu turut dihentikan.
Menurut surat itu, ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu.
“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan PPBM, keahlian anda dalam PPBM adalah terhenti serta-merta,” demikian menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya.
Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti.
Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.
FMT sedang menghubungi Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dan Suhaimi untuk mendapatkan pengesahan mereka.
Mahathir ialah pengerusi dan seorang daripada pengasas PPBM, manakala anaknya Mukhriz ialah timbalan presiden yang bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.
Syed Saddiq pula ialah ketua Pemuda PPBM, manakala Maszlee dan Amiruddin pernah menjadi menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
No comments:
Post a Comment