Saturday, May 30, 2020

Hantar pulang PATI fasa 1 mula 6 Jun, kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata fasa pertama penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) akan bermula 6 Jun.

Ini akan melibatkan 2,189 warga Indonesia di depot tahanan imigresen (DTI) di Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 672 PATI di DTI di Sabah.

“Semua PATI Indonesia yang akan dihantar pulang akan menjalani ujian RTK Antigen, yang mana pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dijemput untuk turut berada semasa ujian dijalankan,” katanya pada sidang media hari ini.

Kumpulan pertama melibatkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan 3 penerbangan ke Jakarta, Medan, dan Surabaya pada 6 Jun, diikuti penghantaran pulang 445 PATI ke Jakarta, Medan, dan Surabaya pada 10 Jun.

Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 PATI berlepas ke Medan pada 22 Jun.

Ismail berkata fasa kedua akan melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa 2 bulan.

“Pihak KBRI juga dibenarkan untuk membuat lawatan konsular bagi menguruskan urusan dokumentasi PATI yang belum mempunyai dokumen perjalanan.

“Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata imigresen bersama Wisma Putra sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 PATI Nepal dan 2,476 PATI Bangladesh yang berada di DTI.

Kedutaan Kemboja juga menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka yang berada di DTI.

Ismail juga memaklumkan kerajaan menjalankan saringan Covid-19 ke atas 4,807 PATI serta pegawai dan kakitangan di 3 DTI iaitu DTI Bukit Jalil sebanyak 1,545, DTI Semenyih 1,785 dan DTI KLIA 1,477.

Katanya, daripada jumlah yang disaring 385 individu didapati positif Covid-19 termasuk seorang kakitangan DTI Semenyih.

“37 individu lagi masih menunggu keputusan.

“Semua mereka dihantar ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, MAEPS, Serdang untuk rawatan,” katanya.

Ismail berkata seramai 26 PATI discaj dan dalam proses penghantaran pulang ke negara asal.

Institut memandu dibenar operasi

Dalam perkembangan lain, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada institut memandu dan latihan serta proses pelesenan pemandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang bermula 1 Jun.

JPJ juga menetapkan tatacara operasi standard (SOP) selaras dengan ketetapan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seperti pemeriksaan suhu, nyahjangkit di luar dan dalam kenderaan pada setiap masa sebelum dan selepas digunakan dan memastikan kapasiti dan aturan tempat duduk terkawal.

“Orang ramai diingatkan agar mematuhi segala arahan yang dikeluarkan dan juga mengamalkan norma baru seperti penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri,” katanya.


No comments: