SHAH ALAM: Seorang Adun Selangor disiasat atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) semasa sambutan Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata siasatan itu dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.
“Polis menerima satu laporan semalam dan pihak terlibat, termasuk individu yang memuat naik gambar berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan. Siasatan awal akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, gambar seorang Adun Selangor bersama lebih 20 ahli keluarganya di luar rumah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, tular di media sosial.
Gambar itu menimbulkan persoalan sama ada SOP PKPB tidak terpakai ke atas golongan kenamaan.
No comments:
Post a Comment