Tuesday, May 26, 2020

Harga minyak semakin baik

Agensi
oil-barrel-681x511
Gambar hiasan

MELBOURNE – Harga minyak meningkat dalam dagangan hari ini susulan tanda jelas bahawa pengeluar berpegang teguh pada komitmen untuk mengurangkan bekalan minyak mentah ketika lebih banyak kenderaan kembali di atas jalan berikutan penurunan penularan wabak koronavirus di seluruh dunia.

Niaga hadapan penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.3% atau AS$0.75 kepada AS$34 pada 0057 GMT. Tidak ada penutup WTI pada hari Isnin kerana cuti Hari Peringatan AS.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 0.7%, atau 23 sen kepada $ 35.76, menambah kenaikan 1.1% pada hari Isnin dalam dagangan tipis.

Pasaran kini didorong oleh kenyataan Rusia yang melaporkan pengeluaran minyaknya hampir susut kepada sasarannya iaitu 8.5 juta tong sehari untuk bulan Mei dan Jun di bawah perjanjian pemotongan bekalannya dengan Pertubuhan Negara Pengeksport-Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya yang dikenali sebagai OPEC +.

OPEC+ dijangka bertemu pada awal Jun bagi membincangkan pengekalan pengurangan bekalan minyak dalam usaha meningkatkan harga bahan bakar itu yang jatuh sebanyak 45% sejak awal tahun ini.

Pengeluar-pengeluar besar telah bersetuju pada April lalu untuk mengurangkan pengeluaran hampir 10 juta tong sehari bagi bulan Mei dan Jun.

Kementerian Tenaga Rusia pada hari Isnin lalu memetik kenyataan Menterinya, Alexander Novak sebagai mengatakan kenaikan permintaan bahan bakar akan membantu mengurangkan lebihan global semasa sekitar 7-12 juta tong sehari menjelang bulan Jun atau Julai. – MalaysiaGazette


No comments: