Pejabat
Menteri Besar Kedah tampil menjelaskan laporan negeri itu "sedia
mempertimbang membuka semula konsesi balak daripada membayar tuntutan
saman hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum
ini."
Tegasnya, kenyataan menteri besar Kedah itu "bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baru pembalakan."
"Masalah yang berbangkit setelah kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini sedangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium.
"Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Menjelaskan lanjut, Muhamad berkata tidak timbul soal memberikan kawasan ganti pembalakan jika Kedah "bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion."
"Dalam hal ini, kerajaan negeri bertegas bahawa kawasan lain yang diganti itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.
"Keutamaan kerajaan negeri ialah kehidupan rakyat akan dipastikan tidak terganggu, tiada pencemaran, tidak ada penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.
"Langkah-langkah ini akan diberi perhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya," katanya lagi.
Terdahulu, portal Berita Harian Online
memetik Sanusi sebagai berkata kerajaan Kedah sedia mempertimbang
membuka semula konsesi balak daripada membayar tuntutan saman hampir RM1
bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.
Katanya,
syarikat pembalakan terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka
berikutan keputusan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang
mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.
"Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan," katanya.
Difahamkan terdapat 40 konsesi balak yang membuat tuntutan ganti rugi susulan arahan pemberhentian semua aktiviti pembalakan tahun lalu.
Pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri pimpinan PH membatalkan semua konsesi balak di Ulu Muda bertujuan memulihara khazanah alam, walaupun terpaksa kehilangan hasil puluhan juta melalui aktiviti pembalakan.
No comments:
Post a Comment