Memasuki Syawal kedua semalam masih ada individu yang tidak mengendahkan arahan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) terutama dengan melakukan ziarah Hari Raya selain masih ada cubaan melakukan pergerakan rentas negeri.
Aktiviti ziarah-menziarahi hanya dibenarkan untuk Hari Raya pertama sahaja berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sebelum ini, manakala pergerakan rentas negeri sehingga kini masih tidak dibenarkan.
Bagi ziarah Hari Raya, pihak berkuasa telah mula mengenakan kompaun terhadap mereka yang terlibat jelas melanggar SOP yang ditetapkan.
Itulah nasib yang dialami oleh seorang pemilik rumah di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves di Kuala Lumpur petang tadi, apabila dikompaun kerana terdapat ramai orang di rumahnya untuk ziarah Raya.
Lelaki berusia 35 tahun itu berkata dia tidak mengetahui kebenaran untuk tidak lebih daripada 20 orang mengunjungi sesebuah rumah untuk menyambut Hari Raya, hanya tertakluk pada raya pertama.
"Saya ingatkan boleh pada raya kedua, ikutkan saya memang sudah hadkan tidak lebih daripada 20 orang dalam rumah saya tadi termasuk ahli keluarga," katanya.
Bagi seorang remaja berusia 19 tahun pula, hasrat berhari raya tidak kesampaian berikutan pemeriksaan polis di rumah tersebut.
Semasa pemeriksaan dari rumah ke rumah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, remaja tersebut sebelum itu dilihat tiba di halaman rumah berkenaan dengan menaiki motosikal bersama rakannya.
Remaja berasal dari Pasir Mas, Kelantan, itu berkata dia mempunyai kekangan untuk pulang beraya di kampung membuatkan dia ingin menyertai sambutan Hari Raya di rumah berkenaan.
"Ikutkan saya memang rasa tidak sedap hati nak datang sebab saya maklum kerajaan bagi arahan hanya boleh beraya pada hari pertama sahaja, tapi maklumlah saya kampung jauh di Kelantan jadi saya datanglah ke sini dengan hasrat untuk menjamah juadah makanan dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata pemeriksaan di rumah itu mendapati kira-kira 18 individu didapati berkumpul dalam rumah berkenaan yang jelas melanggar SOP PKPB dengan pemilik rumah dikenakan kompaun.
Di Port Dickson, Negeri Sembilan pula, polis mengeluarkan empat kompaun terhadap individu yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran pada Hari Raya pertama, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan ketika sekatan jalan raya di Kilometer 26, Jalan Lukut-Port Dickson iaitu sempadan daerah Port Dickson dan daerah Sepang, Selangor.
“Antara yang dikompaun empat sekeluarga dari arah Sepang dipercayai menghala ke Melaka atas alasan mahu beraya sedangkan alamat pada kad pengenalan beralamat di Melaka,” katanya.
Situasi berbeza di Terengganu semalam, apabila polis negeri berkenaan tidak mengeluarkan kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP semasa sambutan Hari Raya di negeri Pantai Timur itu.
Ketua Polis Terengganu Roslee Chik berkata pada sambutan hari raya pertama semalam, 31 kampung, 21 taman perumahan dan 42 keluarga telah diperiksa oleh pihak keselamatan di seluruh negeri, selain 10 amaran secara lisan tanpa sebarang kompaun dikeluarkan.-Bernama
No comments:
Post a Comment