Wednesday, April 22, 2020

Ingkar PKP: Jurutera, wanita dijel dan denda

Abnor Hamizam Abd Manap
 
FOTO Hiasan
 

JURUTERA dan seorang wanita dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Bahau kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) di Bandar Seri Jempol, dekat Bahau.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Tertuduh, Mohd Norhasnol Nordin, 38 dari Segamat dihukum penjara 14 hari dan denda RM300, manakala,

Atiqah Muhadi, 26 dari Labis, Johor, dijel tujuh hari dan denda RM500.

Khir Nizam turut mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua tertuduh secara bersama-sama, di jalan berhampiran stesen Petronas Pusat Perniagaan Bandar Seri Jempol, didapati bergerak dari satu tempat lain ke tempat lain ketika PKP dilaksanakan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 petang, 16 April lalu.

Oleh yang demikian, kedua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments: