Friday, April 24, 2020

Indonesia sekat perjalanan udara, laut hingga 31 Mei

Pihak pengurusan lapangan terbang Ngurah Rai, Bali memaparkan 
maklumat penerbangan yang dibatalkan. (Gambar AP)
 
JAKARTA: Indonesia akan menyekat sementara perjalanan udara dan laut domestik dan antarabangsa, dengan beberapa pengecualian, mulai minggu ini bagi mencegah penyebaran Covid-19, kata Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat ketika Ramadan bermula di negara paling ramai umat Islam di dunia itu, dan kerajaan republik itu melarang acara tradisi balik kampung beramai-ramai dari bandar ke setiap wilayah ketika musim perayaan.

Sekatan perjalanan laut berkuat kuasa serta merta, namun sekatan perjalanan udara akan bermula pada Sabtu bagi membolehkan beberapa penerbangan tempahan awal diteruskan.

Larangan itu membabitkan semua jenis pengangkutan sehingga 31 Mei. Kementerian berkenaan sebelum ini memberikan tarikh akhir sekatan yang berbeza untuk jenis pengangkutan yang berbeza.
Pengangkutan kargo dikecualikan. Pengecualian lain termasuk penerbangan untuk menghantar balik rakyat Indonesia dan warga asing, serta perjalanan oleh pegawai republik itu, kakitangan diplomatik dan wakil organisasi antarabangsa, kata pegawai terbabit.

Syarikat penerbangan terbesar di republik itu termasuk Garuda Indonesia yang dikendalikan kerajaan dan syarikat penerbangan bajet Lion Air.

Kerajaan republik itu melarang acara tradisi tahunan balik kampung beramai-ramai rakyat Indonesia atau dikenali sebagai mudik menjelang musim perayaan terutama ketika Ramadan dan Aidilfitri.

No comments: