Thursday, April 23, 2020

Pasangan kutip derma di FB ditahan

Oleh Hamzah Osman
 

LANGKAWI: Polis menahan sepasang suami isteri disyaki terbabit dalam kes penipuan kutipan sumbangan COVID-19 yang kononnya untuk disalurkan kepada penduduk Bukit Malut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata jurujual kereta dan suri rumah masing-masing berusia 33 dan 27 tahun itu mengutip derma kononnya membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pasangan yang berasal dari Selangor itu mengambil maklumat beberapa penduduk serta membuat hantaran di Facebook pada Selasa lalu memohon sumbangan kononnya untuk 100 penduduk di Bukit Malut yang memerlukan bantuan.

Katanya, pasangan suami isteri itu ditahan di Kampung Bukit Malut, di sini, pada jam 1 tengah hari, selain polis merampas satu telefon bimbit sebagai bahan bukti siasatan.

“Terdahulu, polis menerima aduan berkaitan kegiatan mencurigakan pasangan itu memohon derma COVID-19 menerusi Facebook tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek mengaku mengutip derma dan sumbangan diterima menerusi akaun bank milik suspek lelaki,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pasangan itu turut mengaku belum memberikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Bukit Malut dan Taman Nilam seperti diuar-uarkan.

“Kedua-dua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

No comments: