Oleh Fazleen Safina
Mereka dilindungi UNHCR perlu dipulangkan ke negara masing-masing
BANGI
– Kerajaan perlu memperketatkan proses kemasukan warga asing melalui
kawalan di sempadan dan imigresen bagi mengelakkan lambakan pendatang
asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Pihak berkuasa juga perlu menghadkan
bilangan PATI yang dibenarkan masuk – dengan tidak membiarkan mana-mana
syarikat mengambil seberapa jumlah pekerja asing yang mereka disukai,
kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.
Beliau mengakui isu lambakan pendatang
asing memerlukan pengurusan yang sangat teliti antaranya elemen
kemanusiaan dan kepentingan negara.
“Namun, hentikan manipulasi orang politik
yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan membawa masuk pendatang
asing masuk dalam negara.
“Bagi yang dilindungi bawah Agensi
pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), mereka perlu segera
dipulangkan ke negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak akhir-akhir ini negara digemparkan
dengan kes pendatang haram yang masuk secara tidak sah. Bukan itu
sahaja, turut berlaku penipuan kad pengenalan yang membabitkan
pihak-pihak tertentu.
Terdahulu, pada 2019, Jabatan Perangkaan
menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini
pada 2018 ialah sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta
penduduk di Malaysia.
Selain itu dilaporkan, 180,000 pelarian
yang berdaftar serta tidak berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan ratusan ribu
pelancong asing yang tidak pulang ke negara masing-masing.
Haji Aminuddin berkata, meskipun
kehadiran mereka diperlukan dalam kerja-kerja pembinaan dan aktiviti
lain membabitkan perkembangan ekonomi negara ini, namun ada di antara
mereka yang membawa masalah sosial.
“Sebagai negara Islam, secara umumnya
kita wajib membantu mana-mana saudara muslim lain yang berada dalam
kesusahan tidak kira di mana mereka berada. Tetapi, bantuan ini bukan
bermakna boleh menggugat keselamatan negara dan kebajikan rakyat negara
sendiri.
“Selama ini pun Malaysia sudah dikenali
sebagai negara yang banyak membantu negara-negara muslim lain sama ada
dalam bentuk menerima mereka sebagai pelarian atau menghantar
pertolongan ke negara-negara yang memerlukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment