Thursday, April 30, 2020

Pusat panggilan judi diserbu, 44 warga China ditahan

ADMIN ISMAWEB

 

Hasil keuntungan harian sindiket ini adalah RM150,000

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan 44 warga China termasuk lapan wanita dalam serbuan di pusat panggilan judi dalam talian yang beroperasi di empat buah banglo di Taman Bucida Hijauan di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterisme, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mohd Zani Che Din berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 45 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata polis turut merampas enam set komputer, 17 buah komputer riba dan 75 telefon bimbit yang digunakan untuk mempromosi judi dalam talian.

“Mereka ini turut menganjurkan permainan judi serta pertaruhan dalam talian dan pelanggannya adalah daripada China.

“Aktiviti promosi judi dalam talian ini dibuat menerusi aplikasi WeChat dan QQ Messenger,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lepas dan setiap transaksi perjudian hanya menggunakan mata wang Yuan.

“Banglo mewah ini disewa RM7,000 sebulan bagi setiap unit dan hasil keuntungan harian sindiket ini adalah RM150,000,” katanya.

Mohd Zani berkata kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka. – Bernama


No comments: