Thursday, April 30, 2020

Siapa akan teruskan panji perjuangan 100 tahun lagi?

Muhammad Luttfi Abdul Khalid

 

 29 April tarikh penjajah British di Iraq serah diri kepada tentera Turki Uthmaniyah 104 tahun dahulu

SAYA baru sahaja selesai menonton episod terakhir daripada drama bersiri Turki bertajuk Kutul Amare, tentang penglibatan tentera penjajah British di Iraq.

Kemudian, saya tersedar bahawa tarikh hari ini iaitu 29 haribulan April adalah tarikh yang sama tentera penjajah British di Iraq menyerah diri kepada tentera Turki Uthmaniyah 104 tahun dahulu!

Subhanallah!

Kekalahan dan penyerahan diri tentera penjajah British di Kut Al Amara, Iraq adalah satu kekalahan besar yang sangat memalukan Empayar British dalam Perang Dunia Pertama.

Tentera British memasuki medan perang yang dikenali sebagai Kempen Mesopotamia di Iraq setelah mendapat kontrak untuk eksplorasi minyak dari empayar Iran ketika itu, sekitar tahun 1914 melalui Anglo-Persian Oil Company.

Diringkaskan cerita, tentera British terpaksa berundur ke Kut Al Amara setelah mereka berhadapan dengan siri-siri serangan tentera Turki Uthmaniyah dari Baghdad, yang kemudiannya mengepung mereka di luar kota. Yang memisahkan antara kedua-dua tentera ini adalah tebing sungai-sungai Furat (Euphrates) dan Dijlah (Tigris) sahaja.

Kepungan berlaku selama hampir lima bulan (143 hari) iaitu dari 7 Disember 1915 hingga 29 April 1916.

Penyerahan kalah ini menyaksikan seramai 30,000 orang tentera British yang terbunuh atau cedera manakala 13 orang Jeneral, 481 orang pegawai dan 13,300 anggota tentera British di Kut Al Amara telah dijadikan tawanan perang.

Penyerahan diri (surrender) oleh tentera British dilakukan oleh Major jeneral Charles Townsend tanpa syarat kepada tentera Turki Uthmaniyah pada 29 Arril 1916, 104 tahun dahulu.

Surat khabar Tercuman-i Hakikat menerbitkan berita tentang kekalahan tersebut dengan tajuk “The Biggest Disaster Of The British In History”.

Allahu Akbar Walillahil Hamd!

Sepanjang pengetahuan saya, belum ada lagi mana-mana kajian atau penulisan dalam Bahasa Melayu tentang peperangan yang sangat bersejarah ini. Saya percaya pihak sejarahwan dan pemimpin-pemimpin tentera British cuba menyembunyikan berita ini.

Saya berharap ada di antara para pembaca yang tergerak dan becita-cita untuk melakukan kajian lanjut untuk maslahat semua orang.

**********************

Kenapa British datang ke Iraq dalam kempen yang dinamakan sebagai Kempen Mesopotamia?

Tujuannya adalah kerana Emas Hitam atau yang lebih terkenal dengan nama Petroleum!

Mereka (British/Barat) datang ke dunia Islam dan Benua Timur kerana ingin mendominasi sumber-sumber kekuatan dan pusat-pusat strategik kuasa dunia, yang banyak terdapat di dunia Islam.

Penjajahan adalah satu proses semula jadi untuk mencapai tujuan-tujuan tersebut yang dijelmakan melalui campur tangan politik, peperangan (dan serangan) dan seterusnya cengkaman ke atas negara-negara atau wilayah-wilayah yang ditawan.

Barat telah bangkit melalui revolusi perusahaan dan bahan-bahan yang akan membantu menjayakan cita-cita dan hasrat tersebut terdapat di luar dunia Barat!

Legasi penjajah ini masih wujud, dalam bentuk para pemuja dan penyembah-penyembah tamadun barat yang materialistik. Yang bergerak melalui institusi-institusi, gerakan-gerakan sivil, parti-parti politik, kerabat-kerabat diraja, kumpulan bangsawan, para cendekiawan dan para intelektual.

Mempelajari kisah peperangan ini juga boleh menjadi satu latar belakang dan konteks kepada apa yang sedang berlaku di Asia Barat dan perkembangan geo-politik serta perlumbaan kuasa sekarang.

Apa yang sedang berlaku di Iraq sekarang dengan campur tangan kuasa-kuasa Barat dan Eropah ada kaitan rapat dengan sejarah ekspedisi-ekspedisi tentera British di Kut Al Amara, Baghdad dan Basrah 100 tahun lebih dahulu.

Semua itu ada kaitan dengan Palestin dan negara haram Israel.

Maka menjadi kewajipan kepada umat Islam dan para pemuda-pemudinya membaca, meneliti dan mengkaji sejarah yang berlaku dan telah direkodkan, sebagai langkah persediaan untuk mengalahkan segala bentuk strategi dan tipu daya musuh. Dan juga untuk menjulang bendera kedaulatan Islam.
Tentera Khilafah Turki Uthmaniyah telah membuktikannya 104 tahun yang lalu.

Siapakah di antara kita yang akan meneruskan panji-panji perjuangan ini selama 100 tahun lagi?

*Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)


No comments: