Thursday, April 30, 2020

Uniknya pasar terapung


Fairul Asmaini Mohd Pilus


TANGKAPAN segar dari laut turut dijual di pasar terapung.
TANGKAPAN segar dari laut turut dijual di pasar terapung. 
 
 
LOKAN bakar antara juadah popular yang boleh didapati di pasar terapung Pulau Suri.
LOKAN bakar antara juadah popular yang boleh didapati 
di pasar terapung Pulau Suri.
SEBUT sahaja mengenai pasar terapung, pasti yang terbayang di fikiran kemeriahan di Pasar Terapung Khlong Hae, Hatyai.

Namun, tahukah anda bahawa Malaysia juga memiliki pasar terapungnya sendiri untuk dikunjungi yang terletak di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, anda bolehlah merancang untuk singgah di pasar unik itu.

Pasar Terapung di Pantai Suri


Bagi penduduk Kelantan Floating Market atau pasar terapung di Pulau Suri, Tumpat sudah tidak asing lagi untuk diperkenalkan sejak ia dibuka pada tahun 2016.

Berbeza dengan pasar terapung di Hatyai, untuk ke Pulau Suri, pengunjung perlu menaiki sampan atau bot yang disediakan pengusaha tempatan.

Jika dari Jeti Kuala Besar, perjalanan menaiki bot atau sampan berenjin hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja manakala jika dari jeti Kok Majid, ia mengambil masa hampir 40 minit.

TIDAK perlu ke luar negara untuk merasai pengalaman itu kerana terdapat dua lokasi tidak kurang hebatnya di Kelantan
TIDAK perlu ke luar negara untuk merasai pengalaman itu 
kerana terdapat dua lokasi tidak kurang hebatnya di Kelantan

PENIAGA menjual makanan dari sampan.
PENIAGA menjual makanan dari sampan.
Tambang yang dikenakan adalah berpatutan dan penumpang tidak perlu risau kerana setiap sampan atau bot yang dinaiki dilengkapi dengan jaket keselamatan.

Terdapat puluhan peniaga terdiri daripada penduduk tempatan yang menjual pelbagai jenis hidangan popular masyarakat Kelantan dalam suasana pasar atas air.

Antaranya, lokan bakar, hidupan laut segar yang digoreng dan dibakar, ketupat sotong, kuih muih tradisi, jeli kelapa, gula melaka, madu, nasi berlauk pagi, aneka kuih tradisional dan kerabu nipah.

Selain daripada makanan yang dijual di dalam sampan, ada juga gerai kecil yang menjual pelbagai lagi barangan seperti buah-buahan, bahan mentah segar, kerepek dan tudung.

Pulau Suri juga menawarkan pelbagai aktiviti termasuk berkayak dan menghayati kehidupan penduduk kampung seperti memetik kelapa menggunakan beruk, pembuatan arang tempurung, mencanting batik serta pembuatan bot nelayan.

Rata-rata pengunjung tertarik untuk ke pasar terapung ini kerana keunikan yang ada selain kepelbagaian makanan yang murah dan berpatutan.

Pendek kata, memang meriah keadaan di pasar terapung ini setiap kali tibanya Sabtu.




Pasar Terapung di Sungai Pengkalan Datu, Sering

Pasar yang mula dibuka kepada orang ramai pada September 2017 itu turut memiliki tarikan tersendiri.

Selain terletak lebih dekat dengan bandar Kota Bharu, pasar terapung itu turut dikenali sebagai 'Pasar Tani Pelancongan'.

ANTARA hidangan enak yang boleh didapati di pasar terapung.
ANTARA hidangan enak yang boleh didapati 
Ia terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan hanya 10km dari Kota Bharu.

Namun, seperti pasar terapung di Pantai Suri, pasar terapung Pengkalan Datu juga hanya beroperasi pada hari Sabtu iaitu bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Kebanyakan pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja untuk menikmati pelbagai juadah dan barangan tradisional tempatan malah tangkapan hidupan laut segar daripada nelayan setempat.

Apa yang menariknya, sambil membeli-belah dan menikmati juadah, pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh pihak penganjur.

Jadi, jika ingin merasai pengalaman di pasar terapung, anda tidak perlu bersusah payah melancong ke luar negara kerana semua keunikan itu ada di negara sendiri.


No comments: