MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersedia mengadakan pertemuan dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew berikutan kontroversi pemberian bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dr Zulkifli berkata, pertemuan turut dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab lain itu bertujuan mencari penyelesaian terbaik berhubung urusan bantuan yang menjadi polemik rakyat, termasuk umat Islam.
Beliau berkata, pemberian bantuan boleh dilakukan secara sembunyi atau terbuka berdasarkan kepada keadaan.
"Saya mengambil kesempatan mengajak semua pihak, sahabat termasuk Ebit Lew supaya boleh bertemu dengan saya untuk berbincang ke arah lebih baik kerana perkara baik itu sudah tentu akan ada ujian dan cabaran.
"Saya harap beliau bersabar… Insha-Allah, keadaan lebih harmoni berlaku dengan sebaik-baiknya bagi semua pihak," katanya menerusi laman Facebook (FB) miliknya.
Menurut beliau, kepada yang bertanya, tak puas hati, mungkin terjadi kerana isu yang tidak kita dapat selesaikan dengan baik.
Katanya, mengambil semangat Ramadan al-Mubarak dengan hati terbuka, marilah kita bermaaf-maafan.
"Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih dengan niat untuk membantu saudara kita.
"Bersedekah atau memberi bantuan secara terbuka atau sembunyi adalah dibolehkan.
"Berkenaan dengan sedekah sama ada baik secara sembunyi atau terang, masalah ini dalam al-Quran dan nas menyebut dua perkara, sama ada bersembunyi boleh atau terang-terangan pun boleh dan yang paling penting antara kedua-duanya adalah keikhlasan," katanya.
Beliau berkata, jangan mengungkit-ungkit dan menyebabkan dia (orang dibantu) merasa malu dan rasa tidak selesa.
Menurutnya, bantuan secara terbuka itu seharusnya dilakukan dengan tujuan supaya kebaikan itu diikuti.
"Seolah-olah dengan cara pemberian secara terang-terangan ini menjadi galakan kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan.
"Maka itu adalah satu perkara yang baik. Sekurang-kurangnya pada zaman sekarang ini, dari segi integriti kerana bimbang kalau buat senyap, orang akan kata bantuan tidak sampai atau ambil duit itu sendiri atau seumpamanya.
"Jadi bila tunjuk walaupun secara umum, sekurang-kurangnya menafikan perasaan tak puas hati itu, maka di sini penting tetapi betulkan niat dan begitu juga cuba selaraskan dengan pihak bertanggungjawab supaya tidak timbul perkara (syak) wasangka," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya berhubung dengan pihak berkuasa negeri atau persekutuan bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan.
"Kami di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sentiasa terbuka dan sedia bekerjasama dengan ruang lingkup mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika proses bantuan ini diadakan.
"Kita bimbang apa dilakukan mungkin tidak seiring dengan pihak negeri, jadi bila kita selaraskan dengan memaklumkan kepada mereka sekurang-kurangnya tindakan itu dapat diselaraskan dan bersepadu dan sasaran bantuan tidak dinafikan," katanya.
Berita berkaitan
• Keluarga daif terpaksa tolak rumah sewa Ustaz Ebit
• Ustaz Ebit Lew kembali menyumbang
• Tohmahan untuk cemar imej - MB Kedah
• Tohmahan untuk cemar imej - MB Kedah
• Polis tak halang Ebit Lew buat kebajikan
• 'Ebit Lew tak perlu simpan dalam hati'
• S'Ustaz Ebit Lew tak bersalah'
• Saya menangis beri keterangan kepada polis - Ebit Lew
No comments:
Post a Comment