Wednesday, April 29, 2020

3 lelaki Rohingya terlibat pecah rumah ditahan

ADMIN ISMAWEB

 

Polis antaranya rampas kereta, barang kemas bernilai RM80,000

KULAI – Polis berjaya menumpaskan kumpulan etnik Rohingya yang melakukan pecah rumah sekitar daerah ini sejak tahun lalu selepas menahan tiga suspek dalam serbuan berasingan di inap desa dan dua buah rumah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, menerusi serbuan pada jam 8 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam, polis menahan tiga lelaki etnik Rohingya berumur 20 hingga 32 tahun bersama-sama dua kanak-kanak perempuan berusia 8 dan 9 tahun.

“Mereka terlibat dengan beberapa kes pecah rumah dan kes terbaharu di Indahpura di sini pada 26 April lalu dan mangsa berusia 40-an membuat laporan polis jam 6.30 petang pada hari yang sama.

“Menerusi serbuan itu pihak polis merampas antaranya dua buah kereta, peralatan pecah rumah, wang tunai pelbagai negara, buku bank, pasport, barang kemas dan dua komputer riba yang semuanya bernilai lebih RM80,000,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, modus operandi mereka adalah dengan memecah masuk rumah melalui pintu depan dan tingkap rumah mangsa dengan menggunakan pemutar skru sebelum menyelinap masuk pada waktu siang dan malam.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dua dalang utama kumpulan itu yang dikenali sebagai Abdullah, 32, dan Norjan, 20, yang masih bebas manakala dua kanak-kanak itu sudah dibebaskan kerana tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Kanak-kanak tersebut merupakan anak tiri kepada salah seorang suspek yang ditangkap. Siasatan mendapati mereka sudah melakukan 10 kes pecah rumah di kawasan Indahpura, Bandar Putera, Saleng dan Senai sejak November tahun lalu hingga kini,” katanya.

Beng Yeow berkata, ada di antara suspek berkenaan memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sementara yang lain tidak memiliki sebarang dokumen.

“Polis juga masih menyiasat semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan itu sudah berapa lama tinggal di negara ini,” katanya.

Katanya, tiga suspek tersebut direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan.


No comments: