“TAK SANGKA, keterujaan kami memancing bersama berakhir dengan tragedi apabila sahabat saya pergi buat selamanya,” luah Raja Mohamad Hakim Raja Anwar, 17.
Dia adalah sahabat kepada Nik Adam Syamrie Ab Rashid, 18, yang meninggal dunia selepas dipercayai pengsan dan jatuh ke dalam sungai dalam di Kampung Pauh Panji, Kubang Kerian, di Kota Bharu, jam 6.50 petang, semalam.
Katanya, mangsa datang untuk turut sama memancing dengannya kira-kira 4 petang, dengan wajah gembira serta sempat berborak panjang tanpa sebarang tanda menunjukkan dia sakit atau pening kepala.
“Selepas dua jam kami memancing, dia tiba-tiba pengsan sebelum terus jatuh ke dalam sungai tanpa saya sempat mencapainya. Terkejut dengan kejadian ini, saya cuba membantu namun gagal kerana tidak dapat mengangkatnya sendirian selain tebing sungai yang tinggi.
“Kemudian, saya terus bergegas meminta bantuan di kawasan berdekatan , nasib baik terdapat beberapa individu di lokasi ini yang terus membantu mengangkat mangsa dan membuat bantuan pernafasan (CPR).
“Namun, ketika dibantu, saya melihat wajahnya kaku seperti sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa sudah diangkat oleh beberapa individu.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil siasatan awal, mangsa pengsan terlebih dahulu sebelum jatuh ke sungai sedalam satu meter.
“Selain itu, pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tiada kesan pergelutan, hanya luka di bahagian dagu dipercayai akibat terjatuh di tepi sungai dengan permukaan benteng bersimen. Malah tiada apa-apa kesan atau sebarang kejadian jenayah berlaku.
“Hasil pemerhatian, lokasi kejadian terlindung daripada penglihatan disebabkan terdapat pokok nipah yang tinggi dan pagar rumah konkrit selain agak tersorok daripada orang ramai.
“Jenazah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca kematian,” katanya
No comments:
Post a Comment