Laluan kecemasan bakal dibuka di Slim River, trafik masih lancar hari ini
IPOH-–
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan mempertimbangkan cadangan
untuk membuka laluan kecemasan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan
sekiranya ada keperluan.
Pengarahnya Severinus Tukah berkata,
pihak PLUS Malaysia Berhad mencadangkan supaya laluan kecemasan dibuka
di kawasan Slim River, namun perjalanan trafik di kawasan berkenaan
masih lancar sehingga hari ini.
“Sejak 29 Mei lalu, kebanyakan laluan
masih bergerak lancar, kita lihat sehingga 7 dan 8 Jun nanti kalau ada
berlaku kesesakan di mana-mana kawasan, kita akan buka laluan
kecemasan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada
program ‘Moh Komer Bersama MB’, iaitu Program Sentuhan Menteri Besar dan
JPJ Perak Bersama Pengguna Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya
Aidilfitri 2019 di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Severinus
berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,099 notis dan saman hasil
pemeriksaan ke atas 3,591 kenderaan yang diperiksa atas pelbagai
kesalahan jalan raya sejak 29 Mei sehingga hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk
Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan orang ramai supaya memandu secara
berhemah di jalan raya bagi memastikan perjalanan yang selamat untuk
menyambut hari raya Aidilfitri.
Mengenai majlis sambutan Hari Raya
Aidilfitri peringkat negeri Perak esok, Ahmad Faizal berkata, beliau
menyasarkan seramai 48,000 akan hadir di perkarangan Stadium Indera
Mulia di sini bermula 2.30 petang sehingga lewat petang esok.
Terdahulu, Ahmad Faizal dan Severinus
menyampaikan risalah JPJ dan duit raya kepada anak-anak pengguna jalan
raya yang melalui tol berkenaan. -Bernama
No comments:
Post a Comment