UMMAH bantah, desak ikut pelan asal tak lalui kawasan depan masjid
BANGI– Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pulau Pinang menggesa umat Islam di
negeri itu bertegas dan bertindak matang berteras lunas undang-undang
bagi menuntut hak mereka berhubung pembinaan transit aliran ringan (LRT)
Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.
Gesaan itu berikutan umat Islam di Pulau
Pinang sekali lagi menjadi mangsa kerakusan pihak pemerintah negeri yang
bersekongkol dengan korporat besar untuk mengaut keuntungan dengan
menggadai tanah dan budaya kehidupan umat Islam di negeri berkenaan.
Timbalan Pengerusi UMMAH Pulau Pinang, Dr
Zaki Ibrahim menegaskan, peristiwa permainan licik pihak pemerintah
membuli umat Islam di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di George
Town sepatutnya ditentang habis-habisan agar maruah dan nilai umat
Islam terbela.
“Keangkuhan pihak kerajaan negeri dalam
menjayakan projek mega Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang
juga projek terbesar di Malaysia pasti akan mengubah landskap
sosioekonomi umat Islam.
"Permainan mereka licik, bertopengkan
kemajuan. Seolah-olah isu pengangkutan Pulau Pinang terlalu kompleks dan
tidak ada kaedah lain untuk mengatasinya melainkan dengan projek mega
ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan
agar kerajaan negeri tidak memberi keuntungan kepada golongan korporat,
sedangkan golongan bawahan melarat dan dibeli dengan nilai pampasan
yang tidak setimpal.
“PTMP seolah-olah lesen besar dan boleh
memaksa semua pihak mengikut arahan pelan mereka. Kes pembulian syarikat
besar yang berorientasikan keuntungan mega telah mencabuli tanah wakaf
umat Islam di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar. Umat Islam telah dicatur
daripada awal agar akur dengan kehendak syarikat pemaju,” katanya.
Sebelum ini, Kariah Masjid Jamek Sungai
Nibong Besar mahu jajaran transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas dibina
mengikut pelan asal dan bukan melalui kawasan hadapan masjid berkenaan
dan tanah perkuburan berdekatan.
Cadangan projek LRT itu terkandung dalam
Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang meliputi jarak 30km dan 27 stesen
dari Komtar ke pulau tebus guna yang akan dibina di selatan bahagian
pulau negeri itu.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang
berkata, cadangan jajaran Bayan Lepas di kawasan masjid dan tanah wakaf
perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, masih pada peringkat awal
dan belum dimuktamadkan lagi.
No comments:
Post a Comment