Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, Mohamed Azmin juga tidak perlu melayani mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan kerjaya politiknya.
“Kalau hendak ikut untuk ambil tindakan undang-undang; hampir setiap hari kita kena lakukannya kerana kalangan ini akan terus melakukan pelbagai fitnah secara berterusan.
“Seandainya setiap hari sepuluh fitnah daripada kalangan yang tidak bertanggungjawab terhadap kita; apakah hari-hari kita hendak ambil 10 tindakan undang-undang ke atas mereka?
“Ini buang masa dan juga membazir duit. Sekiranya mereka tidak bijak, kenapa kita juga harus jadi seperti mereka dan melayani kumpulan ini?” soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khairuddin berkata demikian ketika mengulas gesaan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang meminta Mohamed Azmin mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz atas dakwaan memfitnah.
Jelas Kamarul, Mohamed Azmin perlu mengambil tindakan tersebut bagi membersihkan nama Timbalan Presiden PKR itu yang dikaitkan dengan video lucah.
Dalam pada itu tegas Khairuddin, dalam politik, perkara berkenaan adalah sesuatu yang lumrah.
“Tikam-menikam, fitnah-memfitnah dan hasad dengki adalah perkara yang amat biasa kepada keseluruhan tokoh-tokoh politik.
“Tambahan pula, Mohamed Azmin yang sudah berpuluh tahun bergelumang dalam arena politik telah melalui pelbagai dugaan kecil mahupun besar selain tak perlu membuang masa melayani agenda jahat ini.
“Sudah pasti dia sudah lali dengan perkara-perkara tidak berfaedah seperti ini,” katanya.
Jelasnya, kaedah terbaik untuk Mohamed Azmin membersihkan namanya ialah melonjakkan semula ekonomi negara ke tahap paling tinggi agar rakyat tanpa mengira kaum dapat hidup dalam suasana sejahtera. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment