Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tampil membela PAS berkenaan 'fatwa' wajib menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) yang dikritik sejumlah pihak.
Mohamad berkata apa yang dinyatakan Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh berkenaan perkara itu hanyalah petunjuk untuk anggota PAS.
“Saya tak dapat pula fatwa sebab saya bukan pakar dalam bidang itu.
“Jangan pula kita salah faham... Orang selalu fikir bila fatwa ini sahaja soal halal atau haram, tapi fatwa ini (maksudnya) adalah petunjuk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sepang di Sepang, hari ini.
Ketika sesi peggulungan Muktamar PAS ke-65 pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi berkata wajib untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tiada pertikaian berkenaannya.
"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," katanya.
Ia dibidas Menteri Pertahanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menyifatkannya sebagai "fatwa mengarut".
Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad pula berkata kenyataan Zawawi itu hanyalah pandangan seorang ahli politik dan sesuatu perkara hanya dianggap fatwa apabila ia ditetapkan oleh mufti.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Umno tidak perlu mengikut setiap keputusan dan langkah PAS walaupun kini bekerjasama dengan parti itu.
"Kita cuma bekerjasama (dan) tidak bergabung, sebab itu dalam piagam kita adalah Umno, PAS pula PAS.
"Tak semestinya apa yang PAS buat kita kena ikut, tidak sampai tahap itu. Tahap (hubungan) ialah bekerjasama menyusun strategi," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment