Tidak lama dahulu, Felda merupakan sebuah agensi kerajaan yang disegani bukan sahaja di rantau Asia, malah dikagumi oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana strateginya yang efektif dalam menaik taraf tahap sosio ekonomi masyarakat luar bandar.
Malahan, Felda mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarahnya pada 2012, iaitu sebanyak RM5.8 bilion, sejurus selepas penyenaraian IPO Felda Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia.
Prestasi kewangan kumpulan tersebut dalam tahun-tahun sebelumnya juga adalah sangat memberangsangkan, dengan purata keuntungan sebanyak RM720 juta setahun, dalam tempoh 2007 hingga 2011.
Sebelum 2012, pelbagai aktiviti huluan (upstream) dan hiliran (downstream) di ladang Felda, yang terdiri daripada ladang komersial dan peneroka, dikendalikan oleh Felda Holdings Berhad (FHB) yang dimiliki oleh Felda dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).
KPF yang memegang ekuiti sebanyak 51% dalam FHB majoritinya dianggotai oleh peneroka Felda, iaitu sebanyak 88% atau 233,635 ahli. Melalui KPF, peneroka boleh memperolehi dividen daripada FHB untuk menambah pendapatan di samping hasil tanaman di ladang mereka.
Akan tetapi, semuanya hancur punah apabila Felda melaksanakan penstrukturan semula kumpulan tersebut pada 2012.
Selepas melaksanakan penstrukturan semula itu, Felda cuma mengendalikan pengurusan ladang peneroka dan industri kecil manakala aktiviti hiliran dan pengurusan ladang komersial Felda diserahkan kepada FGV melalui Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).
Selain itu, Felda juga menubuhkan sebuah syarikat pelaburan bernama Felda Investment Corporation (FIC) yang bertanggunjawab untuk pelaburan luar sektor perladangan di dalam dan luar negara.
Model perniagaan yang distruktur semula ini ternyata tidak menguntungkan Felda apabila kumpulan tersebut mencatatkan kerugian sebanyak RM2 bilion hanya setahun selepas penstrukturan semula pada 2012.
Kumpulan Felda terus mencatatkan kerugian pada tahun-tahun berikutnya, sehinggalah kumpulan tersebut mencatatkan kerugian terburuk pada 2017, iaitu sebanyak RM4.9 bilion.
Ternyata model perniagaan pasca-2012 ini meranapkan Felda, terutamanya apabila kumpulan tersebut melakukan pelbagai pelaburan secara agresif.
Model perniagaan ini memberi peluang kepada Felda untuk melabur dalam aset bukan perladangan (non-core businesses) seperti hartanah dan perhotelan. Pelaburan ini langsung tidak memberi pulangan yang berbaloi.
Turut memburukkan keadaan adalah tindakan bekas pengerusi Lembaga Pengarah Felda, Isa Samad, membeli hartanah ini tanpa melaksanakan kajian dan mendapatkan kelulusan lembaga pengarah.
Bukankah lebih elok jika Felda mengembalikan model perniagaan yang diamalkan sebelum 2012? Ternyata model tersebut adalah sangat menguntungkan, jika dilihat pada prestasi kewangannya sebelum tahun itu.
Sebagai contoh, walaupun harga purata sawit (CPO) pada 2009 sangat rendah, iaitu sekitar RM2,200 per tan metrik, Felda mampu mencatatkan keuntungan sebanyak RM200 juta.
Akan tetapi, Felda gagal mencatatkan keuntungan pada 2017 walaupun CPO lebih tinggi pada tahun itu, iaitu sebanyak RM2,790 per tan metrik. Malahan, rugi paling teruk pula pada tahun itu! Apa dah jadi?
Memang betul, keadaan ekonomi sejagat sekarang bukanlah sama dengan pada tahun 2009, tambahan lagi dengan ancaman daripada negara Eropah untuk menghentikan import minyak sawit dari rantau Asia Tenggara.
Akan tetapi, jika model perniagaan lama itu digabungkan dengan teknologi “smart farming” terkini yang diuar-uarkan oleh Mohamed Azmin Ali serta menukar barisan lembaga pengarah kepada yang lebih progresif dan berintegriti, tidak mustahil untuk Felda mengatasi cabaran ekonomi masa kini.
Malah, mungkin sudah tiba masanya untuk Felda menimbangkan kerjasama dengan pihak swasta yang berkelayakan supaya beban ke atas kerajaan boleh dikurangkan, terutamanya dengan situasi hutang negara yang serius sekarang.
Walaupun Kertas Putih Felda menyatakan bahawa tindakan yang sewajarnya akan diambil, kertas itu langsung tidak menyebut tentang rancangan yang konkrit untuk menstruktur semula model perniagaan Felda yang “memakan diri” kumpulan tersebut selama 5 tahun.
Untuk kita kembali ke zaman kegemilangan Felda, mungkin sudah tiba masanya untuk kita merujuk kembali kepada model perniagaannya yang lama dan mengadaptasinya ke arah yang lebih mampan.
*Hannah J adalah seorang jurutera yang berkhidmat di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment