Beberapa guru, pelajar pengsan dan alami sesak nafas, muntah
JOHOR BAHRU– Baru beberapa jam sesi persekolahan di kawasan Pasir
Gudang bermula setelah semua sekolah di situ diarahkan tutup Selasa lepas,
gangguan kesihatan berupa sesak nafas dan muntah-muntah kembali menghantui
beberapa sekolah di kawasan sama.
Wartawan Bernama yang ditugaskan
untuk membuat liputan sekolah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok pada
kira-kira 8.30 pagi tadi, menyaksikan sendiri insiden itu yang mana beberapa
pelajar dan guru pengsan, di depan mata.
Selain sekolah itu, difahamkan
turut terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort,
SMK Seri Alam Dua, SK Taman Pasir Putih, SK Jenis Kebangsaan Tamil Ladang
Sungai Plentong, SMK Taman Nusa Damai dan SK Taman Cendana.
Sekurang-kurangnya tiga ambulans
daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Sultan Ismail
dikejarkan ke sekolah berkenaan dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang
terjejas.
Ibu bapa pelajar juga turut
kelihatan membawa anak mereka pulang ke rumah masing-masing.
Sehingga kini, tiada pengesahan
berapa jumlah pelajar yang terlibat.
Beberapa mangsa pula kini,
dipercayai sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan
klinik kesihatan terdekat untuk diberi rawatan awal.
Stadium itu sebelum ini dijadikan
oleh pihak berkuat kuasa sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit.
Sementara itu, usaha untuk menemu
bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana mereka dilarang untuk
memberi sebarang kenyataan.- Bernama
No comments:
Post a Comment