Reman suspek pertama dilanjutkan bermula esok hingga 11 Julai
MELAKA
– Polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes
pencerobohan di tempat perkuburan dan merosakkan batu nisan di Tanah
Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, Jumaat lepas.
Ketua
Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata suspek berumur 19
tahun itu merupakan pelajar yang sedang mengikuti latihan kemahiran di
sebuah institut pengajian tinggi swasta, ditahan di sekitar Jalan
Bachang di sini, kira-kira 3.45 petang semalam.
“Bagaimanapun,
suspek dilepaskan dengan jaminan polis kerana mempunyai rekod kesalahan
lampau berkaitan dadah iaitu waran tangkap dari mahkamah dan dia telah
dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah itu hari ini,” katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Beliau
berkata, dengan perkembangan terbaharu itu, dua suspek telah ditahan dan
tempoh reman empat hari bagi suspek pertama iaitu seorang tukang rumah
warga Indonesia berumur 46 tahun yang berakhir hari ini dilanjutkan
selama dua minggu lagi.
“Justeru,
tempoh reman ke atas suspek pertama itu dilanjutkan bermula esok
sehingga 11 Julai ini dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk
menentukan motif kejadian,” tambahnya.
Penahanan
reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 297 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau
kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Jumaat
lepas, media melaporkan kira-kira 20 kubur melibatkan kubur baharu dan
lama dirosakkan termasuk dipecah-dipecahkan dan batu nisan dicabut serta
dipatahkan selain dua kubur telah dibakar.
Susulan
daripada itu, Ahad lepas, polis menahan warga Indonesia itu di sebuah
rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang, kira-kira 5 petang dan direman
pada Isnin lalu.- Bernama
No comments:
Post a Comment