Oleh Siti Fatimah Ishak
Rakyat akan bangkit jika laksana dasar yang rugikan anak bangsa
BANGI– Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam
sederhana menentang sekeras-kerasnya pelaksanaan semula Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam
model lama ataupun penjenamaan baharu.
Menyifatkan
PPSMI hanya meminggirkan peranan bahasa kebangsaan, Presidennya, Haji
Aminuddin Yahaya meminta pendirian kerajaan dan Kementerian Pendidikan
berhubung perkara ini, apabila jemaah menteri ada membincangkan semula
dasar berkenaan.
Beliau
berkata, pakar dan tokoh pendidikan sudah sepakat bahawa PPSMI terbukti
memberikan banyak masalah kepada sistem pendidikan negara yang kesannya
lebih kepada merosakkan anak bangsa.
“Sebab
utama PPSMI perlu ditolak adalah kerana bahasa kebangsaan akan lebih
terpinggir apabila sistem ini dilaksanakan. Maka, usaha memperkasakan
bahasa kebangsaan akan terus terbantut.
“Kita
tuntut pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan menyatakan
dengan jelas apa pendirian mereka terhadap isu ini. Adakah ada
alternatif yang lebih baik berbanding PPSMI atau mereka akan
melaksanakannya semula?
“Tapi
ingat, jika PPSMI dilaksanakan semula atau dasar alternatif baru yang
merugikan rakyat dan negara dilaksanakan, Isma pasti akan menentang
secara habis-habisan bersama pejuang bahasa dan pendidikan, NGO-NGO dan
seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu,
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai
berkata, jemaah menteri ada berbincang mengenai pelaksanaan semula dasar
PPSMI, bagaimanapun tiada keputusan dibuat.
Muhyiddin
yang juga bekas Menteri Pelajaran ketika mengumumkan pemansuhan dasar
berkenaan pada 2012 memberitahu, perbincangan yang dibuat bersifat umum
dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
PPSMI
pernah dilaksanakan pada tahun 2003 dan terbukti gagal. Berdasarkan
kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science
Study (TIMSS), pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam bidang sains
dan matematik merosot dengan mendadak apabila sistem berkenaan
dilaksanakan.
Malah,
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNESCO) pernah menyarankan agar subjek Sains dan Matematik
diajar dalam bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment