Hasil kajian Kementerian Kerja Raya dibentang ke Kabinet Julai
KUALA LUMPUR
– Kementerian Kewangan (MOF) telah memberikan surat tawaran rasmi
kepada empat syarikat konsesi lebuhraya dengan harga ‘’enterprise
value’’ atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion.
Empat
konsesi lebuhraya bertol itu yang Gamuda Bhd mempunyai kepentingan ialah
Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat
(Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).
Harga tawaran kepada LDP adalah RM2.47 bilion, Sprint (RM1.98 bilion), Kesas (RM1.38 bilion) dan SMART (RM369 juta).
Menteri,
Lim Guan Eng berkata, kejayaan tawaran itu adalah tertakluk kepada
ketekunan wajar, sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi
yang mencukupi serta kelulusan Jemaah Menteri yang muktamad.
“Jika
proses pengambilalihan lebuhraya bertol ini berjalan dengan lancar,
kerajaan, menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh
Kementerian Kewangan Diperbadankan, akan memgambil alih lebuhraya
berkenaan pada 31 Dis, 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon.
Lim
berkata, dengan sistem caj kesesakan baharu seperti diumumkan sebelum
ini, pengguna empat lebuhraya itu akan menikmati penjimatan sehingga
RM180 juta setahun, dan penjimatan ini bermakna pendapatan boleh guna
isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.
Caj
kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan.
Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus
pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.
“Di
samping itu, bagi tidak membebankan rakyat, kerajaan akan mengekalkan
caj kesesakan maksimum pada waktu puncak pada kadar tol sedia ada.
Struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan
diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Jan, 2020,” katanya.
Di samping
itu, pengambilalihan empat lebuhraya berkenaan juga akan secara
langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion
dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kenaikan
kadar tol sehingga akhir hayat konsesi.
Sementara
itu, Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, sebarang cadangan
pengambilalihan mana-mana lebuh raya akan hanya diputuskan oleh Jemaah
Menteri setelah mengambil kira hasil kajian dan syor daripada
Kementerian Kerja Raya berhubung hala tuju di negara ini secara
menyeluruh.
Menurutnya, laporan kajian itu akan hanya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Julai.
“Sepertimana
yang dimaklumkan sebelum ini, Kementerian Kerja Raya telah melantik
perunding audit bebas bertauliah pada Januari 2019 bagi meneliti dan
mengkaji secara holistik hala tuju industri tol di negara ini.
“Antara
prinsip atau kriteria utama kajian berkenaan ialah mencadangkan
opsyen-opsyen yang munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak
yang berkepentingan iaitu kerajaan, syarikat konsesi dan juga rakyat
sebagai pengguna, meminimumkan beban kewangan kerajaan dan memastikan
piawaian operasi dan selenggara lebuh raya sedia ada tidak terjejas,”
katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment