Beri tempat kepada golongan baharu ubah imej kepimpinan: KJ
BANGI– Sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ingin kembali aktif dalam
politik, perkara itu sewajarnya perlu dibawa dan dibincangkan dalam
mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO terlebih dahulu, kata bekas
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, pihaknya kurang bersetuju
sekiranya keputusan ingin kembali menerajui UMNO hanya diputuskan Ahmad
Zahid sahaja berikutan sepanjang tempoh beliau bercuti, tugas itu telah
digalas MT dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Walaupun bekas Presiden UMNO, Datuk Seri
Najib Razak sebelum ini menyatakan bahawa perkara ini tidak perlu
dibincangkan dalam MT kerana mengikut perlembagaan Ahmad Zahid
sememangnya presiden yang sah, itu betul.
“Namun, dari segi moral dan politik,
perkara ini perlu dibincangkan kerana sepanjang Ahmad Zahid bercuti, MT
dan timbalan presiden yang jalankan tugas beliau. Jadi tak adil jika MT
tak ada pandangan yang boleh dipertimbangkan dalam perkara ini,” katanya
seperti dilapor media tempatan.
Ahmad Zahid pada 18 Disember tahun lalu
mengumumkan beliau bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan
menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Semalam, Najib memaklumkan bahawa Ahmad
Zahid boleh kembali menerajui semula parti walaupun tanpa persetujuan
pihak lain termasuk MT.
Kata beliau, keputusan sama ada Ahmad
Zahid mahu kembali ataupun tidak adalah terpulang sepenuhnya kepada
presiden UMNO itu sendiri.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli
Parlimen Rembau berkata, parti perlu memberi tempat kepada golongan
baharu berikutan ini adalah masa yang sesuai untuk melakukan satu
perubahan terhadap imej kepimpinan UMNO.
Katanya, langkah ini adalah bagi membolehkan rakyat melihat UMNO melakukan perubahan terhadap saf kepimpinan utama parti itu.
No comments:
Post a Comment