Aziz Bari beri hujah tak rujuk mana-mana peruntukan Perlembagaan
BANGI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menempelak kenyataan Dr
Abdul Aziz Bari apabila mendakwa desakan untuk menghapuskan sistem
pendidikan vernakular di negara ini adalah bertentangan dengan
Perlembagaan.
Naib
Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Naib Pengerusi DAP
Perak itu mengeluarkan hujah tanpa merujuk kepada mana-mana peruntukan
Perlembagaan Persekutuan.
Malah, Abdul
Aziz hanya bersandarkan kepada faktor sejarah bahawa sekolah vernakular
ini telah wujud sejak 60 tahun lepas dan sepatutnya dikekalkan.
Mohd Khairul
turut merujuk kepada Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang
menyatakan bahawa 152(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan
hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh
Parlimen: Dengan syarat bahawa— (a) tiada seorang pun boleh dilarang
atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau
daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.
“Perkara
152(1)(a) ini membawa maksud Melayu adalah bahasa kebangsaan Persekutuan
dan apa-apa bahasa lain sekadar boleh digunakan untuk tujuan mengajar
atau belajar asalkan ianya bukan atas tujuan ‘maksud rasmi’ kerajaan.
“Sekolah
yang tersenarai dalam sistem pendidikan negara adalah ‘maksud rasmi’
kerajaan. Oleh itu, disebabkan oleh Perkara 152 (1)(a) melarang sebarang
penggunaan Bahasa selain daripada Bahasa Melayu untuk ‘maksud rasmi’
termasuk sekolah biayaan kerajaan.
“Maka Putra
menghujahkan bahawa Perkara 152(1)(a) inilah yang menjadikan kewujudan
sekolah vernakular sebagai bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sabtu lalu,
wakil Dewan Muslimat PAS, Salamiah Md Nor dalam Muktamar Tahunan PAS
Kali Ke-65 di Kuantan menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya
menghapuskan sistem pendidikan vernakular kerana dasar itu tidak
menyumbang kepada perpaduan kaum.
Desakan itu
menerima pelbagai reaksi beberapa pihak termasuk DAP Perak yang turut
membuat laporan polis menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan
siasatan berhubung tuntutan berkenaan.
Mengulas
lanjut, Mohd Khairul berkata, Putra percaya bahawa adalah tidak sah bagi
kerajaan Persekutuan memperuntukkan apa-apa bantuan kewangan kepada
sekolah vernakular ini.
“Oleh itu,
hujahan Aziz Bari yang bersandarkan fakta sejarah semata-mata tidak
boleh menafikan fakta Perlembagaan bahawa satu ‘institusi yang haram di
sisi Perlembagaan’ telah ditubuhkan dan dibiaya oleh kerajaan sejak 60
tahun dahulu, dan sesuatu institusi yang bertaraf haram 60 tahun lalu
tidak perlu diteruskan untuk 60 tahun akan datang.
“Putra juga
menyokong desakan wakil Dewan Muslimat PAS, Salamiah Md Noor yang
menggesa kerajaan PH menghapuskan sistem pendidikan vernakular kerana
ianya tidak menyumbang kepada perpaduan kaum,” katanya.
No comments:
Post a Comment