Sunday, June 2, 2019

Felda dirayu tangguh kutip hutang peneroka sempena Aidilfitri

Bernama
Felda dirayu tangguh kutip hutang peneroka sempena Aidilfitri
Mazlan Aliman berkata, bagaimana peneroka dapat menyambut hari raya, sedangkan pendapatan yang mereka perolehi juga sedikit. - Gambar fail
 
 
KULAI: Pihak pengurusan Felda hari ini (Ahad) dirayu supaya menangguhkan kutipan hutang peneroka sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan supaya dapat memberi keselesaan golongan terbabit menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) Datuk Mazlan Aliman berkata hampir 40 peratus daripada pendapatan peneroka pada setiap bulan dipotong untuk membayar hutang pinjaman mereka kepada Felda.

"Setiap bulan pendapatan peneroka hanya berbaki sekitar RM600 sahaja, bagaimana mereka dapat menyambut hari raya, sedangkan pendapatan yang mereka perolehi juga sedikit," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada 60 asnaf anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kulai menerusi Program Kasih PPK Kulai, di sini hari ini.

Mazlan berkata kewajaran penangguhan bayaran hutang peneroka dilihat perlu berikutan ketidakstabilan harga komoditi kelapa sawit selain musim melawas yang agak panjang ketika ini.
 
Beliau yang juga Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) turut menggesa FGV Holdings supaya memberikan dividen interim yang diamalkan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Mazlan, pemberian dividen interim yang masih belum diputuskan FGV Holdings sehingga kini perlu dilaksanakan, kerana ia dapat menambah sumbangan duit raya RM300 yang diumumkan kerajaan kepada peneroka sempena Aidilfitri.

Tambah beliau, biasanya peneroka memperoleh purata dividen interim antara RM800 hingga RM900 bagi menghadapi perayaan setiap tahun, malah amalan itu telah bermula sejak tahun 2003.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan semua peneroka Felda akan mendapat 'duit raya' RM300.

"Kegembiraan kepada kita kerana ia diberi kepada semua 112,635 peneroka Felda berbanding kerajaan lama yang hanya mengagihkan kepada mereka yang bersama Felda saja, tetapi tidak yang uruskan secara sendiri," katanya.

Mazlan berkata amalan memberi duit raya tersebut biasanya digalas oleh Felda, namun, akibat masalah kewangan yang dihadapi agensi itu, maka tanggungjawab memberi duit raya tersebut harus dipikul kerajaan.

"FGV masih ada masa lagi untuk memberi dividen interm kepada peneroka dalam masa berbaki tiga hari sebelum raya ini supaya ianya dapat menambah RM300 duit raya yang diberikan kerajaan," katanya. -- BERNAMA 
 
 

No comments: