Friday, February 2, 2018

Tunjuk data empirikal kalau mahu tawan Johor

Wartawan MalaysiaGazette
 
Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor. Turut kelihatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday.


JOHOR BAHRU – Kerjasama dan perpaduan Barisan Nasional (BN) Johor sangat kuat dan pihak yang memasang angan-angan untuk menawan negeri itu tidak diberi jalan mudah.

Demikian ketegasan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mencabar pembangkang supaya menunjukkan data empirikal berhubung dakwaan BN berkemungkinan hilang kuasa di empat negeri termasuk Johor.

“Apabila mereka kata nak tawan Johor cuba tunjukkan dengan empirical data… kalau mereka kata boleh tawan Johor. Itu sahaja saya nak kata, itu semua adalah psywar. Kita ni semua berpengalaman dan kita ini semua tak termakan dengan psywar itu.

“Itulah saya nak jawab, tunjukkanlah pada kita data-data itu based on what? Takkan naik helikopter dan tinaju-tinjau je. Kalau dia kata boleh tawan Johor, tell me which seat yang dia akan tawan…Permas, Semarang, Mahkota, Kemelah?

“But i tell you, kita juga ada beberapa kerusi parti-parti yang makin berkecai sebelah sana itu yang kita boleh ambil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Dr. Shaharuddin Badaruddin yang mendakwa terdapat kajian yang BN berkemungkinan hilang kuasa di empat negeri iaitu Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah berdasarkan perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, BN Johor akan mendedahkan prestasi wakil rakyat pembangkang.

“Bila sampai masa saya akan beritahu prestasi wakil rakyat pembangkang, kita ada data siapa yang paling rendah prestasi perkhidmatan dia. Bila kita ukur prestasi wakil rakyat BN, kita tidak hanya hadkan pada BN sebab rakyat hendak tahu.

“Kita boleh kata, secara keseluruhan, prestasi wakil rakyat BN adalah lebih baik daripada pembangkang,” katanya.

Mengenai mesyuarat hari ini, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan di peringkat UMNO Bahagian dalam menghadapi PRU-14.

Tambahnya, BN Johor sudah 90 peratus bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette.


No comments: