Friday, February 2, 2018

Jangan ‘main’ telefon dalam masjid – JAIS



Wartawan MalaysiaGazette
 
 
KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan agar tidak berlebih-lebihan ketika menggunakan media sosial dalam kehidupan termasuk ‘bermain’ telefon pintar di dalam masjid.

Menerusi khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menyelar penggunaan media sosial yang dilihat bertukar wajah menjadi satu gejala yang sangat membimbangkan.

“Sebahagian umat Islam banyak menghabiskan masa melayari media sosial berbanding membaca ayat suci al-Quran atau membaca bahan-bahan berunsurkan kerohanian, keagamaan yang boleh membentuk akhlak yang baik.

“Sebaliknya, semakin ramai yang ketagih melayari media sosial tidak kira masa dan tempat termasuk di dalam masjid dan ketika khatib berkhutbah Jumaat.

“Melayari media sosial sehingga tidak menumpukan perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan, akan menyebabkan sia-sia, malah merosakkan pahala mendengar khutbah serta mengurangkan pahala solat Jumaatnya,” tegas khatib ketika membacakan khutbah yang dikeluarkan oleh JAIS itu.

Malah, khutbah itu turut menegaskan kandungan berita dan cerita dalam media sosial boleh diolah tanpa kawalan.

“Tidak takutkah amalan kebaikan kita hilang begitu sahaja akibat tersalah berkongsi perkara tidak baik dan tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan dikalangan umat Islam.

“Antaranya menyebarkan sesuatu hukum yang disebut oleh para ulama sedangkan hakikatnya tidak benar, atau menyebarkan sesuatu fatwa sedangkan ianya tidak pernah difatwakan.

“Jadikanlah media sosial sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, memperkukuhkan persaudaraan, menyuburkan perpaduan, menyebarkan ilmu pengetahuan, yang seterusnya akan menambahkan kebaikan dan memperoleh rahmat,” kata khutbah itu lagi. – MalaysiaGazette


No comments: