DETIK DAILY
Oleh Wan Syamsul Amly
SIAPA boleh teka bila Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka diadakan?
Pelbagai persoalan sebenarnya muncul apabila bercakap tentang tarikh
sebenar pembubaran Parlimen dan membuang undi, yang melibatkan pemilihan
wakil-wakil rakyat.
Pada pemilihan kali ini, sekurang-kurangnya 14,622,881 pemilih berdaftar
berada dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 30 Jun tahun
lalu.
Bincang kedai kopi juga memberi pelbagai tarikh sebenarnya; ada yang
meramal selepas habis sesi Dewan Rakyat (5 April), sebelum masuk bulan
Ramadan (17 Mei), sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara (8 Jun) serta pelbagai hujah
beserta fakta-fakta yang boleh diguna pakai dan juga masuk akal.
Ia juga mengambil kira pelbagai hujah lain, termasuk isu persempadanan
semula yang menjadikannya bahan politik pihak pembangkang yang
menyifatkan ia satu muslihat kerajaan untuk menang besar pada PRU14 kali
ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini
jelas sudah menyangkal dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa persempadanan semula kawasan pilihan
raya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada
PRU14.
Menurut Ahmad Shabery, persempadanan semula penting bagi memudahkan pengurusan terutama di kawasan yang luas dan padat.
Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Institut Darul
Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang menyebut, syor
persempadanan semula pilihan raya oleh SPR tidak semestinya memberi
kemenangan kepada BN pada PRU14.
Tegasnya, ini kerana cadangan tersebut hanya melibatkan 'andaian di atas
kertas'.
Bayangan PM dan TPM
Satu bayangan menarik diberi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi bahawa PRU14 mungkin diadakan sebelum Aidilfitri
tahun ini boleh diambil kira untuk menguatkan lagi ramalan tarikh
sebenar hari pembubaran Parlimen.
Aidilfitri yang jatuh pada 15 Jun itu menjadi titik tolak hari terakhir kemungkinan PRU14 diadakan.
Lagipun Parlimen sebenarnya akan terbubar dengan sendiri pada 24 Jun ini.
Ia termasuk beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan terbubar
dengan sendirinya lebih awal daripada 24 Jun jika Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak tidak membubarkan Parlimen sebelum tarikh tersebut.
Ini kerana ada sesetengah DUN lebih dahulu melakukan angkat sumpah wakil
rakyat dan sidang DUN bermula lebih awal daripada sidang Parlimen.
Datuk Seri Najib juga sebelum ini sudah memberi bayangan tarikh PRU14 diadakan sebelum 14 Julai ini.
PRU13 dan 12
PRU13 telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah Parlimen dibubarkan pada 3 April.
Pada 10 April 2013, SPR mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon ialah 20 April dan pilihan raya pada 5 Mei, hari Ahad.
Pada 6 Mei 2013, BN telah mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Kerusi yang selebihnya jatuh kepada gabungan Pakatan Rakyat iaitu
sebanyak 89 kerusi. Di peringkat negeri pula, BN berjaya menawan kembali
Kedah.
Sementara untuk PRU12, Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Abdullah
Ahmad Badawi telah membubarkan Parlimen pada 13 Februari 2008.
Pada 14 Februari 2008, SPR menetapkan tarikh 8 Mac sebagai hari rakyat mengundi.
Keputusan PRU12 pula amat memeranjatkan kerana BN hanya mendapat 140
kerusi Parlimen manakala pembangkang mendapat 82 kerusi Parlimen.
Ia sekali gus keputusan yang menafikan BN mendapat majoriti dua pertiga
dalam PRU dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti asas.
TARIKH SEBENAR PRU14?
Jadi bila sebenarnya tarikh PRU14? Sebelum masuk Ramadan? Semasa bulan
Ramadan? (dengan alasan kurang kata-kata kesat semasa berkempen), bulan
Mac atau April?
Ramai pemimpin pembangkang sebelum ini mendesak Datuk Seri Najib
mengumumkan tarikh yang dinanti-nanti itu lebih awal namun ia tertakluk
sepenuhnya kepada kuasa perdana menteri. Jadi jangan merungut.
Paling penting, tarikh itu akan menjadi titik mula keyakinan Datuk Seri
Najib berada pada tahap tertinggi untuk memastikan BN tidak kalah untuk
kali ketiga dalam pertarungan mengejar majoriti dua pertiga dalam
kerajaannya!
* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI
dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS)
UiTM
No comments:
Post a Comment