Friday, February 2, 2018

Selangor tidak akan tubuh jawatankuasa baru bincang isu agih kerusi - Azmin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tiada jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyelesaikan isu agih kerusi di negeri itu.
 
Azmin berkata Jawatankuasa Pilihan Raya Selangor yang kini digunakan untuk rundingan agih kerusi mungkin akan ditukar namanya menjadi Jawatankuasa Pengagihan Kerusi.
 
“Tiada jawatankuasa khas. Apa yang Dr Mahathir (Mohamad) kata adalah kita ada jawatankuasa yang ditubuhkan seperti negeri lain dan kita telah berjumpa empat kali.
 
“Kecuali jawatankuasa itu sebelum ini dikenali sebagai ‘Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri Selangor’ sekarang mereka mahu ubah kepada ‘Jawatankuasa Pengagihan Kerusi’, ahli jawatankuasa masih sama,” katanya kepada wartawan pada sidang media di sebuah majlis di Masjid Taman Tun Teja, Rawang.
 
Pengerusi PH Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan jawatankuasa khas bagi PH Selangor menyelesaikan isu agih kerusi di negeri itu.
 
Azmin juga menyelar Amanah kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan tentang pembahagian kerusi PH Selangor, seolah-olah hanya PKR yang memulakan rundingan rasmi.
 
“Tidak ada jawatankuasa baru, hanya nama baru…apa yang penting adalah isi bukan nama, tetapi sekurang-kurangnya tidak bolehkan Amanah beritahu kebenaran kepada rakyat?
 
“Kerana itulah Amanah tak beritahu kebenaran, mereka tak amanah, kita sudah berjumpa empat kali,” kata Azmin menyindir.
 
“Kita sudah berjumpa empat kali bukan hanya untuk berbincang dengan pembahagian kerusi, tetapi juga isu lain berkaitan persediaan Pilihan Raya Umum ke-14.
 
“Sudah tentu rundingan kerusi adalah salah satu isu utama yang dibincangkan dalam jawatankuasa, tetapi malangnya kami belum capai konsensus empat parti, dan saya rasa proses itu perlu diteruskan (sehingga capai konsensus),” kata Azmin.
 
Azmin juga mengatakan pembahagian kerusi PH negeri belum dimuktamadkan dan beliau menekankan PH akan memperuntukkan kerusi berasaskan “kebolehmenangan” parti komponennya.
 
“Saya pasti jika kita ada konsensus, kita boleh atasi semua perkara, kerana saya fikir di Selangor, lebih daripada 80% sudah ada konsensus.
 
“Jadi adil di Selangor, awak mahu tetapkan tarikh akhir atau awak mahu proses itu diteruskan hingga kita capai konsensus? Saya ingat kedua-duanya penting?” katanya.
 
 

No comments: