DETIK DAILY
Oleh Dr Latif Saad
Ramai daripada individu dalam masyarakat yang risau akan sakit di
bahagian dada. Ia diterukkan lagi apabila kesakitan itu juga mempunyai
simptom yang lain seperti sesak nafas. Kebanyakannya mesti akan datang
ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana
risau mungkin itu adalah tanda-tanda sakit jantung.
Tetapi ada satu lagi simptom yang sama seperti orang yang ada gastrik
tapi sebenarnya dia sedang mengalami serangan sakit jantung. Disebabkan
dia tidak tahu itu adalah masalah sakit jantung, maka dia tidak pergi
berjumpa dengan doktor perubatan hingga ada pesakit yang meninggal dunia
disebabkan dia tidak tahu itu adalah tanda-tanda ajal yang akan tiba.
Simptom tersebut adalah pedih ulu hati. Ya, ada sesetengah pesakit yang
hanya mengalami sakit ulu hati sahaja tetapi sebenarnya dia sedang
mengalami sakit jantung.
Ingatkan gastrik, tapi sakit jantung
Ada satu hari tu, seorang Makcik datang kepada saya disebabkan pedih ulu
hati. Waktu tu saya sedang jaga Zon kuning Jabatan kecemasan. Kata
makcik tersebut sudah seharian dia sakit ulu hati. Sakitnya bermula pada
malam hari membawa ke siang dan dia pun sudah berjumpa doktor di klinik
pada malam tadi.
Doktor malam tadi mengatakan makcik tersebut mengalami masalah gastrik
sahaja kerana pesakit hanya mengadu pedih ulu hati. Tiada ujian
Electrocardiogram (ECG) dibuat kepada pesakit mungkin sebab doktor
ingatkan ianya masalah gastrik sahaja.
***ECG merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mengesan masalah
pada bahagian jantung. Dalam serangan sakit jantung, ia menjadi alat
utama untuk mengesan dan mengesahkan masalah tersebut bersama-sama
dengan pemeriksaan klinikal
Pada pagi itu pula, keadaan makcik tersebut semakin tenat kerana dia
sudah mula mengalami sesak nafas. Tekanan darah diambil dan bacaannya
sangat tinggi iaitu 200/100. Bacaan pulse oximetry iaitu bacaan
kandungan oksigen dalam badan pula adalah 70%. Bacaan tersebut adalah
rendah menunjukkan pesakit kekurangan gas oksigen dalam badan. Bacaan
normalnya adalah lebih daripada 94%
Saya menggunakan stetoskop untuk mendengar jantung dan juga paru-paru makcik tersebut.
Degupan jantung adalah normal tetapi tidak bagi paru-parunya. Bila
makcik tersebut menarik nafas, terdengar bunyi seolah-olah buih-buih
kecil pecah daripada paru-paru tersebut. Istilah perubatan bagi penemuan
ini dipanggil sebagai 'Crepitus'
Bunyi tersebut dihasilkan kerana terdapatnya air yang telah memasuki
bahagian dalam paru-paru iaitu bahagian alveolus. Perkara tersebut boleh
disebabkan beberapa perkara seperti jangkitan kuman paru-paru, lemah
jantung dan juga serangan sakit jantung
Alveolus berfungsi sebagai tempat pertukaran oksigen dan karbon
dioksida. Apabila ia dipenuhi dengan air, maka ia tidak boleh berfungis
dengan sepenuhnya menyebabkan kandungan oksigen dalam darah semakin
berkurangan.
Ujian Electrocardiogram(ECG)
Mesin ECG ditolak ke sebelah pesakit untuk melakukan ujian tersebut.
Daripada keputusan ujian tersebut saya terkejut kerana apa yang saya
takuti telah berlaku depan mata. Makcik tersebut sedang mengalami
serangan sakit jantung kerana bacaan ECG tersebut sangat tipikal.
Terdapat peningkatan segmen ST pada bahagian hadapan jantung(ST segment
elevation) menunjukkan salur darah bahagian hadapan jantung telah
tersumbat.
Tetapi kenapa makcik tersebut sakit ulu hati berbanding dada? Jadi saya
pun tanya makcik tersebut sama ada mempunyai masalah kencing manis
ataupun tidak. Dia menjawab ya dia ada kencing manis tetapi tidak
mengambil ubat secara konsisten.
Persoalan dalam benak saya sudah terjawab kenapa makcik itu mengalami
simptom yang tidak tipikal berbanding pesakit jantung yang lain. Makcuk
tersebut mengalami pedih ulu hati, manakala pesakit jantung yang lain
selalunya mengalami sakit dada.
Saya kemudian membawa makcik tersebut ke zon merah untuk rawatan selanjutnya.
Kenapa pesakit kencing manis mempunyai simptom sakit jantung yang berbeza?
Penting untuk kita tahu bahawa seseorang yang mempunyai kencing manis
mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung dan
juga strok.
Bahkan bagi pesakit kencing manis, ia boleh datang dengan simptom yang
pelik dan tidak sama seperti sakit jantung yang biasa. Contoh sakit ulu
hati. Malah kadang-kadang pesakit tidak mempunyai apa-apa simptom
sehinggalah dia sesak nafas dan terus mati begitu sahaja.
Satu sebab kenapa pesakit kencing manis mempunyai simptom sakit jantung
yang pelik adalah kerana kencing manis itu sendiri menyebabkan
KEROSAKKAN PADA SARAF. Gula yang tinggi akan merosakkan saraf yang
menyalurkan rasa sakit daripada jantung ke otak.
Ini menyebabkan pesakit mungkin tidak merasa sakit langsung ketika
berlakunya serangan sakit jantung tersebut ataupun mempunyai simptom
yang tidak tipikal sebagai contoh pedih ulu hati ataupun sesak nafas
sahaja.
Nasihat daripada saya
Jika anda mempunyai simptom seperti sesak nafas, pedih ulu hati berserta
faktor risiko seperti kencing manis dan darah tinggi, kami nasihatkan
anda untuk tidak berlengah berjumpa dengan doktor.
Bagi pesakit kencing manis pula, kawallah gula anda dengan baik agar
anda tidak diserang sakit jantung secara tiba-tiba ataupun mati secara
tiba-tiba.
No comments:
Post a Comment