Sunday, February 18, 2018
PRU14: Lawan Khairy bukan ‘kecil-kecil anak’, kata PKR
PETALING JAYA: PKR berkata Pakatan Harapan akan mengetengahkan seorang calon berpelajaran tinggi dan dengan pembawaan diri berwibawa di Rembau untuk bersaing dengan populariti Khairy Jamaluddin.
Ketua PKR Cabang Rembau Yusof Tapa berkata calon yang akan dipertaruhkan bukan “kecil-kecil anak”, memandangkan lawan mereka seorang Ahli Parlimen muda yang dikenali anak muda di dunia nyata dan media sosial.
Menurut Yusof, calon mereka merupakan anak jati Rembau yang berasal dari Kampung Penajis, “berkelulusan sains politik dan kolonel bersara”.
“Dia boleh berdebat dengan Khairy bila-bila masa,” tambahnya.
Khairy antara pemimpin muda Umno yang mempunyai populariti dan daya tahan yang tinggi. Beliau berjaya mempertahankan kerusi Rembau dalam 2 pilihan raya lepas, dengan pertambahan majoriti lebih sekali ganda, iaitu 5,746 undi pada PRU12 dan 18,357 undi pada PRU13.
Menewaskan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Dr Mohamad Khir Toyo pada pemilihan ketua Pemuda Umno 2009, beliau mempertahankan jawatan itu pada pemilihan 2013 dan diangkat sebagai menteri penuh pada tahun yang sama.
Khairy seorang brigadier jeneral Rejimen Askar Wataniah dan mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.
Menghadapi ahli politik seperti itu, Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun harus percaya PH mampu bersaing dengan Khairy, atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti beliau.
“Kali ini dengan isu rakyat saya rasa kita dapat kurangkan lebih banyak undi,” katanya.
Aminuddin berkata faktor jawatan menteri memainkan peranan dalam pertambahan majoriti Khairy, kelewatan mengumumkan calon dan pertambahan 8,000 pengundi di DUN Paroi, yang terletak di bawah Parlimen Rembau.
“Itu faktor yang menyebabkan kita gagal mengurangkan majoriti,” katanya.
BN menewaskan PAS di DUN Paroi dengan 2,184 undi manakala di DUN Rantau, BN menewaskan PKR dengan majoriti 4,613 undi.
Aminuddin berkata menghadapi PRU14, PH akan mengumumkan calon lebih awal agar mereka boleh segera bertemu pengundi. Calon dijangka diumumkan bulan depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment