Monday, February 12, 2018

PPBM dedah agihan kerusi PH Kelantan temui jalan buntu

ANTARAPOS

Post Pic
 


KOTA BHARU: PPBM Kota Bahru mendedahkan isu agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) negeri Kelantan sehingga kini masih gagal menemui jalan penyelesaian walaupun sudah melepasi tarikh akhir 7 Februari lalu.

Sehubungan itu sayap kepimpinan PPBM yang diketuai Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min, mengumumkan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu dan meramalkan PPBM tidak akan menang pada PRU14.

"Kita kecewa dan tidak berpuas hati dalam banyak isu terutama pengagihan kerusi di Kota Bharu dan di daerah lain. Masalah yang timbul kini apabila Parti Amanah Negara (PAN) (Amanah) mahu tiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu.

"Malah, daerah lain juga mengalami masalah sama seolah-olah PPBM dipinggirkan sedangkan kita memiliki jentera yang cukup jika dibandingkan dengan PAN (Amanah).

"Perbincangan isu pengagihan kerusi sudah mengambil masa beberapa bulan, namun sehingga kini tiada kesudahan dan mencapai penyelesaian apabila setiap parti masing-masing mahu meletakkan calon," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda PPBM Kota Bharu, Nik Mohd Adhwa Nik Haris; Ketua Srikandi Kota Bharu, Normala Abdul Kadir.

Mohd Nor Hashim berkata, isu berkenaan sudah dibawa ke peringkat tertinggi berikutan terlalu banyak masalah timbul, namun masih tiada penyelesaian menyebabkan mereka tawar hati dengan parti.

"Setakat ini kita belum mengambil keputusan untuk keluar parti dan masih dalam peringkat perbincangan sebelum keputusan dibuat.

"Namun realitinya, masa depan PPBM sudah tiada dan Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya memberi laluan kepada pemimpin lebih muda memandangkan beliau sudah berusia 93 tahun dan mempunyai masalah penyakit.

"Malah, orang Melayu dalam Pakatan Harapan semakin lemah dan DAP pula menjadi semakin kuat. Jelas sekarang DAP yang menguasai Pakatan Harapan," katanya yang turut menggesa parti mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) semula.

Sementara itu, Normala berkata, masalah yang berlaku ini perlu diselesaikan segera sebelum semakin ramai ahli tidak berpuas hati dan mengambil keputusan keluar parti.



No comments: