SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima laporan kes seorang murid sekolah
di Lenggeng, yang melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum
air panas oleh ibu tirinya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Zaldino Zaludin berkata pihaknya
menerima laporan berkenaan Sabtu lalu daripada IPD Dang Wangi dan kes
masih dalam siasatan awal.
“Kita akan minta laporan perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes.
“Dakwaan ibu mangsa yang mengatakan tiada tindakan susulan dibuat
kerana pegawai penyiasat di IPD Nilai menganggap perkara ini adalah
masalah rumah tangga berdasarkan laporan yang pernah dibuat sebelum ini,
adalah tidak benar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata setiap kes yang dilaporkan kepada pihaknya akan disiasat seadilnya.
Terdahulu media hari ini melaporkan seorang kanak-kanak berumur 7 tahun
menderita akibat melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum
air panas yang masih menggelegak oleh ibu tirinya.
Kejadian berlaku Isnin lalu iaitu sehari selepas ibu kandungnya
menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik pulang ke
rumah bekas suaminya di Lenggeng.
No comments:
Post a Comment