Monday, February 12, 2018

DAP Sabah akhiri ‘kegelapan’ puluhan tahun penduduk pedalaman Tenom


Oleh

Penantian panjang puluhan tahun penduduk Kg Rayoh yang terletak di Dewan Undangan negeri (DUN) Melalap – Parlimen Tenom untuk menikmati bekalan elektrik akhirnya tercapai.

Jika selama ini mereka terpaksa bergantung kepada lilin dan pelita sebagai sumber cahaya pada waktu malam, kini, kesemua 59 buah rumah di kampung itu menikmati cahaya lampu melalui pemasangan sistem solar yang dilaksanakan oleh DAP Sabah dan Impian Malaysia.

Menurut Penyelaras DAP Parlimen Tenom, Noorita Sual, kesusahan yang dihadapi penduduk Kg Rayoh sejak lebih 50 tahun lalu tanpa amat mendukacitakan.

“Apa yang berlaku di Kg Rayoh ini amat tidak lagi relevan, tidak wajar berlaku lebih-lebih BN telah lama menguasai Sabah.

“Penduduk kecewa, lebih setahun tiang-tiang elektrik terpacak di kampung mereka tapi gagal berfungsi,” katanya kepada Roketkini.

Noorita bergambar bersama sebahagian penduduk Kg Rayah yang telah menerima penyambungan sistem solar.

Menurutnya, penduduk juga sering mengadu tentang kepayahan mereka menghantar anak-anak ke sekolah kerana ketiadaan jalan raya.

“Mereka mengadu kesukaran untuk menghantar anak-anak ke sekolah (SK Pangi) kerana terpaksa bergantung dengan satu-satunya sistem pengangkutan iaitu kereta api Tenom.

“Apa yang lebih menyedihkan, sistem keretapi sedia ada juga sering mengalami kerosakan,” kata Noorita.



Selain ketiadaan elektrik dan jalan raya, kampung yang terletak kira-kira 10 km dari Kg Pangi, Parlimen Tenom ini hanya boleh dihubungi melalui jaringan kereta api tanpa kemudahan klinik kesihatan, sekolah malah tiada isyarat telefon bimbit.

Kata Noorita, rakyat di kawasan pedalaman yang diwakili Adun Melalap Datuk Radin Malleh itu telah dipinggirkan secara berterusan dan terbukti gagal menyelesaikan penderitaan yang dihadapi sejak sekian lama.

Lebih ironi, Radin Malleh merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah manakala Parlimen Tenom pula diwakili oleh Ahli Parlimen UMNO, Datuk Raime Unggi.

“PRU 14 pada tahun ini akan menyaksikan kebangkitan rakyat menentang segala bentuk penindasan dan ketidakadilan oleh kerajaan BN terhadap rakyat.

“Rakyat di pedalaman khususnya telah dipinggirkan secara berterusan sejak beberapa dekad dan wakil rakyat seperti Datuk Radin Malleh yang sudah diberi mandat gagal membawa perubahan yang sepatutnya,” katanya lagi. – Rokektini.com


No comments: