KOTA KINABALU: Seorang pelancong lelaki warga China maut dirempuh
kereta ketika melintas di Jalan Pasir berhampiran Masjid Bandaraya,
dekat sini, pagi Khamis.
Dalam kejadian itu jam 10.50 pagi, Lyu Xueqi, 67, yang parah di kepala
dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) sebelum disahkan
meninggal dunia jam 3.07 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata
siasatan awal mendapati mangsa dirempuh kereta jenis Naza Sutera
dipandu lelaki berusia 30 tahun yang dalam perjalanan dari arah Luyang
ke kompleks beli-belah 1Borneo.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu melanggar mangsa yang
datang dari arah sebelah kanan pembahagi jalan selepas gagal mengelak
kerana jarak yang terlalu dekat.
"Akibat rempuhan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke
HQE 2 menggunakan ambulans," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Chandra berkata, selepas menerima rawatan hampir empat jam, pegawai
perubatan HQE 2 mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan masih
diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil untuk membantu
siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau
pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,
Inspektor Chong Chee Wah di talian 016 3032030.
No comments:
Post a Comment