Friday, February 2, 2018

Jakim tidak berperlembagaan, kenyataan Ku Li dipertikai

Manzaidi Mohd Amin
Dr. Amini Amir Abdullah


KUALA LUMPUR – Tuduhan konon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berperlembagaan yang dibuat oleh pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengundang rasa tidak puas hati Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Pertubuhan NGO Melayu itu menyifatkan kenyataan Ku Li boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan Jakim selaku organisasi utama yang memajukan Islam dan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara ini.

Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah, Jakim berperanan penting dalam memelihara dan melindungi Islam sesuai dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan peranan untuk menjaga status itu terletak juga di Jabatan Perdana Menteri.

“Di samping itu, Jakim diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan perkara penting di antara agensi kerajaan yang berbeza fungsi dan peranan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Antara tugas penyelarasan Jakim ialah dalam konteks perundangan dan kehakiman, pendidikan dan urus tadbir Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ku Li seperti dilaporkan sebuah portal yang menyatakan eksploitasi politik ke atas Islam biasanya dilakukan pemimpin yang tiada asas agama dan ia termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Jakim, iaitu sebuah jabatan khas di bawah kerajaan pusat.

Katanya, Jakim yang tidak berperlembagaan adalah hasil cubaan UMNO untuk menjadi lebih Islam daripada saingan utamanya, Pas.

Menurut Dr. Amini Amir, Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia, Perkara 1 (4), Perkara 12 (2), Perkara 121 (1A) dan ikrar Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37 (1) memanifestasikan bahawa kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk menubuh, mengurus dan memberikan dana kepada mana-mana institusi berkaitan Islam.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipertikaikan dan Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menaik taraf Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri menjadi sebuah Jabatan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jakim.

“Jadi penubuhan Jakim berpunca dari Mesyuarat Jemaah Menteri dan Parlimen Malaysia. Kenapakah ia dianggap tidak berperlembagaan?

“Sayugia Perkasa ingin mengingatkan tuduhan JAKIM tidak berperlembagaan adalah penggulangan tohmahan yang dilakukan oleh Kumpulan 25 atau G25.

“Ku Li seharusnya cermat dan teliti dalam tindakan serta ucapannya apabila mengkritik dan membuat tuduhan kepada pihak Jakim. Ini kerana, Ku Li dikenali sebagai tokoh berhemah dan istiqamah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa memberitahu, Ku Li sepatutnya menimbulkan perkara itu sejak dari dahulu lagi, tetapi kenapa baru sekarang ditimbulkan.

“Biro Hal Ehwal Islam Perkasa terpaksa menzahirkan pendirian dan pendapat ini kerana apa saja hal yang berkaitan Islam mutakhir ini dipolimik begitu mudah dan “take thing for granted” bila buat komen dan media sosial pula suka beri tajuk yang sensasi,” katanya. – MalaysiaGazette


No comments: