GEORGETOWN: Gerakan Pulau Pinang telah menyenaraikan 17 calon termasuk
tiga wanita untuk bertanding 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau
Pinang dan empat kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengerusi Gerakan Negeri, Teng Chang Yeow berkata senarai calon negeri
itu sudah dikemukakan kepada Gerakan pusat dan pimpinan Barisan Nasional
(BN).
“Lapan daripada 17 calon adalah muka baru...mungkin ada pertukaran di
saat akhir...bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan BN,” katanya
kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Gerakan Pulau Pinang
sempena Tahun Baharu Cina di George Town, malam tadi.
Beliau berkata persediaan parti itu berada di tahap 90 peratus dan
manifesto negeri sudah disiapkan dan kini hanya menunggu untuk
dihebahkan pada masa yang sesuai.
Katanya, antara perkara yang terkandung dalam manifesto itu termasuk
keperluan perumahan mampu milik, penyelesaian masalah banjir,
pembangunan sosial yang memberi tumpuan kepada warga emas dan
pembangunan wanita.
Gerakan ditubuhkan pada awal 1968. Ia bertanding sebagai parti
pembangkang pada PRU 1969 dan menang 16 daripada 24 kerusi di Pulau
Pinang, yang sebelum itu dikawal MCA, komponen Parti Perikatan.
Tetapi parti itu kalah teruk pada PRU 2008 dan 2013, apabila gagal memenangi satu kerusi pun di DUN dan Parlimen.
Hanya Umno berjaya mengekalkan 11 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen
pada 2008, dan kemudiannya 10 kerusi DUN dan tiga parlimen pada PRU13.
No comments:
Post a Comment