shahbudindotcom
Apakah
yang terlintas di fikiran kita apabila mendapati "seseorang yang sedang
berdoa" di hadapan jalan yang berlopak adalah seorang timbalan menteri
daripada sebuah kerajaan yang sedang memerintah negara?
Apakah ia aksi yang baik dan normal atau "perangai gila" seorang pemimpin?
Difahamkan
jalan yang berlopak dan membahayakan pengguna jalanraya itu segera
dibaiki setelah Ahli Parlimen Tangga Batu merangkap Timbalan Menteri
Sains, Teknologi dan Innovasi, Dr. Abu Bakar Mohamad Diah memuat naik
gambarnya berdoa itu di media sosial sambil mengharapkan ada pegawai
daerah, datuk bandar atau ahli majlis turut melalui atau melihat jalan
yang berlopak itu.
Jalan itu dikatakan sudah berlopak dan membahayakan pengguna jalan sejak kira-kira sebulan yang lalu.
Kita
mungkin tidak hairan jika yang melakukan aksi berdoa itu ialah Ahli
Parlimen pembangkang yang tiada kuasa dan peruntukan, itu pun tentunya
setelah pelbagai usaha menemui pihak yang berkuasa sudah dilakukan dan
tidak mendatangkan apa-apa hasil.
Tetapi, mengapakah Ahli Parlimen parti pemerintah dan berjawatan timbalan menteri pula, sanggup berbuat demikian?
Apakah beliau sudah putus harapan kerana usahanya selama ini agar jalan itu dibaiki tidak diendahkan oleh pihak berkuasa negeri?
Bukankah Abu Bakar adalah Ahli Parlimen Tangga Batu di mana Ketua UMNO Tangga Batu, Idris Haron adalah Ketua Menteri Melaka?
Secara
tidak langsung, jalan yang berlopak itu bukan saja dalam jajahan UMNO
Tangga Batu, tetapi juga dalan lingkungan kuasa Ketua Menteri untuk
bertindak pantas membaikinya?
Kenapa sampai sebulan jalan itu terbiar berlopak dan tidak dibaiki?
Mengapa juga setelah disebarkan dalam media sosial, ia boleh dibaiki hanya dalam masa sehari?
Dalam
perbualan spontan dengan beberapa kenalan, diberitakan masalah lambat
dan lembab dalam membaiki kemudahan asas yang melibatkan kepentingan
rakyat ini turut berlambak-lambak berlaku di banyak kawasan lain di
seluruh negara.
Ia
dikatakan tidak saja berlaku di kawasan yang diwakili oleh pihak
pembangkang, tetapi juga turut terjadi apabila seseorang pemimpin atau
wakil rakyat itu tidak sebulu atau mempunyai hubungan tidak baik dengan
pemimpin atasan di peringkat negeri.
Tindakan
Abu Bakar berdoa di atas jalan sebenarnya tidak lebih merupakan gimik
sahaja dan walaupun ia berhasil membuatkan pihak berwajib segera
membaikinya, ia juga adalah gambaran kelemahan dan ketidakpedulian
kerajaan negeri Melaka terhadap permasalahan semasa rakyat.
No comments:
Post a Comment