Friday, February 16, 2018

Isu bekas exco Pemuda PPBM dan himpunan di RoS tiada kaitan - Bekas ahli

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Himpunan aman anjuran bekas ahli PPBM di hadapan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang dirancang Khamis depan tidak perlu dikaitkan dengan isu yang melatari salah seorang penganjurnya, Muhammad Hafiz Azhar, kata bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin. 
 
Mohd Anas berkata demikian mengulas desakan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap Muhammad Hafiz kerana mendakwa bekas exco sayap parti itu antara individu yang 'diburu' bagi membantu siasatan berhubung kekecohan program Nothing to Hide 2.0 pada Ogos tahun lalu. 
 
"Kalau ia melibatkan siasatan polis berhubung Nothing To Hide dulu, itu dua perkara yang berbeza. Himpunan pada 22 Februari ini isu lain, mengenai aduan kepada ROS di mana hampir 400 aduan daripada bekas ahli PPBM masih belum ada apa-apa tindakan (daripada ROS).
 
"Ini boleh menyebabkan ada persepsi kepada rakyat, (seolah) ada tangan ghaib atau sesuatu yang meragukan RoS. Malah satu ketika dulu Umno juga pernah dibatalkan pendaftarannya, sehingga kena tubuh Umno baru," katanya kepada Antarapos.  
 
Dalam pada itu Mohd Anas berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, mana-mana individu atau pertubuhan dibenarkan untuk mengadakan himpunan aman asalkan mematuhi Akta Perhimpunan Aman dan garis panduan yang ditetapkan.
 
"Bagi saya tiada masalah untuk berhimpun. Pembangkang dan kerajaan juga berhimpun. Jadi individu atau NGO nak berhimpun, itu dibenarkan dalam undang-undang menerusi Akta Perhimpunan Aman," katanya lagi. 
 
Terdahulu, sekumpulan bekas ahli PPBM mengemukakan permohonan kepada polis untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan RoS bagi mendesak jabatan itu mengambil tindakan terhadap PPBM kerana didakwa melanggar perlembagaannya.
 
Kumpulan berkenaan telah membuat permohonan untuk mendapat permit perhimpunan aman itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya pada 12 Februari lalu dan sedang menunggu maklum balas polis.
 
Muhammad Hafiz dalam kenyataannya sebelum ini berkata himpunan tersebut tetap akan diteruskan sekalipun tidak mendapat keizinan pihak berkuasa.
 
Katanya beliau menjangkakan lebih 500 anggota PPBM terutamanya mereka yang telah menghantar aduan-aduan rasmi kepada RoS sebelum ini akan menyertai perhimpunan tersebut.
 
 

No comments: