Thursday, February 1, 2018

Ideas: PPBM juga perlu kerusi campuran



wan-saiful-wan-jan-ppbm-kerusiPETALING JAYA: Walaupun parti komponen Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kelihatan sedang cuba menembusi kerusi-kerusi seluruh negara, sebuah badan pemikir memberi amaran, agihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang adalah kunci untuk memastikan kewujudannya dalam jangka masa panjang.

Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata PPBM dipandang kebanyakan orang sebagai pesaing Umno untuk meraih undi Melayu.

Sambil mengatakan parti pembangkang lain sudah mencecah had mereka dalam meraih sokongan Melayu, beliau menambah, PPBM menawarkan “sesuatu yang baharu kepada kawasan majoriti Melayu”.

Bagaimanapun, parti itu juga meminta jumlah kerusi campuran secukupnya di mana PH mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang, katanya.

“Pemimpin PPBM… berpendapat PH mampu menang di kerusi campuran hanya jika pengundi Melayu di kawasan tersebut ditarik ke pihaknya, dan ini akan berlaku hanya PPBM ada.

“Jadi, jika PPBM adalah sebab untuk PH memenangi kerusi campuran, sumbangan paling pentingnya haruslah dibalas semula dalam bentuk kerusi di kawasan campuran juga.

“Agihan kerusi dalam kalangan parti PH amat penting untuk memastikan PPBM terus wujud,” katanya dalam satu kolum pendapat yang diterbitkan oleh akhbar Singapura, Straits Times, hari ini.

PH memperuntukkan 10 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor kepada PPBM pada PRU14 yang perlu diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

Wan Saiful dalam kajian terbitan Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) – Institut Yusof Ishak, berkata, PPBM mempunyai peluang bertanding di Johor yang sekian lama dianggap kubu kuat Umno, jika parti itu diberikan kerusi campuran.

Beliau berkata, kebergantungan PH kepada PPBM untuk memenangi kerusi majoriti Melayu menyebabkan parti itu dalam dilema.

Katanya, ini kerana Umno memenangi kerusi itu dengan majoriti besar dan tidak mungkin wujud perubahan besar dalam sokongan pengundi Melayu pada PRU14.

“Kawasan di mana mereka diharapkan untuk menang merupakan kawasan yang paling sukar dimenangi.

“Oleh itu, walaupun PPBM kelihatan menyahut cabaran dan tanggungjawab dengan tenang, ini jelas satu beban berat untuk ditanggung sebuah parti baharu,” katanya.

Dalam kolumnya, Wan Saiful menambah, PPBM hadapi “masalah besar” untuk melemahkan pengaruh Umno terhadap pengundi wanita, dengan satu tinjauan di Johor oleh ISEAS-Yusof Ishak menunjukkan hanya 17% memihak kepada parti itu.

PPBM juga sukar meyakinkan pengundi Melayu yang berasa ragu-ragu dengan kaitannya dengan DAP dalam gabungan pembangkang, katanya.

“Terdapat kecenderungan dalam kalangan pengundi Melayu untuk mengaitkan DAP dengan pengaruh politik kaum Cina di Malaysia yang semakin meningkat, dan terhakisnya kuasa politik Melayu.

“Oleh itu, mengundi sebarang parti yang membantu DAP menjadi kerajaan sama seperti membahayakan kedudukan istimewa Melayu.

“Perjalanan untuk mengambil alih Putrajaya dipenuhi cabaran untuk ahli politik berpengalaman banyak sekali pun. Tiada tinjauan yang memihak kepada Tun Dr Mahathir buat masa ini. Ia perjuangan yang sukar buatnya,” katanya.

No comments: