KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin atau lebih
dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis hari ini di Ibu
pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ekoran difitnah penyokong Pakatan
Harapan (PH).
Fitnah yang disebarkan melalui pelbagai medium laman sosial itu
mendakwa isteri Badrul ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) atas tuduhan cuba merasuah Ketua Srikandi PPBM di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Menurut Badrul yang juga Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),
pemimpin PH maklum berkenaan penyebaran fitnah tersebut namun
kesemuanya membisu sehingga kini.
"Saya ingin menafikan sepenuhnya fitnah ini. Isteri saya tidak pernah terlibat dengan apa-apa perbuatan merasuah ahli politik.
"Fitnah ini menunjukkan bahawa Pakatan Harapan kini sudah mengadaptasi
fitnah sebagai taktik politik rasmi mereka. Sebab itulah nampaknya
pemimpin mereka begitu takut dengan cadangan kerajaan untuk menggubal
undang-undang untuk menyekat berita palsu," katanya ketika ditemui
selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Terdahulu Chegubard hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membuat
laporan terhadap dakwaan yang tersebar baru-baru ini mengenai dirinya
dan keluarganya ditahan SPRM.
Dakwaan tersebut mengatakan bekas pemimpin PKR itu ditahan ekoran cuba
merasuah anggota PPBM bagi meninggalkan parti serpihan Umno itu.
Laporan tersebut mendakwa isteri Chegubard merupakan dalang untuk menyogok Ketua Srikandi PPBM.
Beliau yang juga tiba sekitar jam 11.30 pagi, ditemani beberapa individu lain.
PPBM sebelum ini dilaporkan akan terus menekan SPRM bagi mengesahkan
dan mendedahkan butiran siasatan seorang individu yang dikatakan ditahan
kerana cuba menyogok ahlinya keluar parti.
No comments:
Post a Comment