DETIK DAILY
Pertelingkahan antara parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam
soal pengagihan kerusi membuktikan gabungan itu tidak mampu menjadi
kerajaan yang baik, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Apatah lagi ia pertelingkahan itu dibuat secara terbuka dan sehingga kini tidak selesai, katanya.
"Mereka tak dapat tunjuk tolak ansur dan kesepakatan untuk menguruskan
(gabungan) parti sendiri, maka macam mana nak jadi kerajaan yang
berkesan.
"Kita sebagai pengundi tentulah merasa ragu untuk memilih mereka sebagai
kerajaan," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan ketika
ditemui pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, hari ini.
HARAPAN Kelantan sebelum ini dilaporkan gagal menyelesaikan masalah
pertindihan tuntutan bagi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun
tempoh rundingan sudah tamat, dan perlu membawa isu itu ke peringkat
pusat.
Antaranya sembilan kerusi melibatkan pertindihan antara AMANAH dan
BERSATU, tiga kerusi menjadi rebutan antara AMANAH dan PKR dan dua
kerusi antara BERSATU dan PKR.
Masalah sama turut dihadapi HARAPAN Selangor, tetapi Pengerusi HARAPAN
negeri itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia perkara biasa kerana
demokrasi sememangnya sebuah "proses yang bising".
Mohd Amar berkata, keadaan berbeza ketika PAS masih bersama pakatan
pembangkang apabila banyak pertikaian dapat diselesaikan dengan baik.
"Kita tidak tahu sebab sebenar (pertelingkahan dalam HARAPAN), tetapi
mungkin kerana masing-masing rasa sudah kuat dan tamak nak menang
(banyak kerusi)," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment