RAWANG: Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas
Amanah negeri itu sebagai menipu serta tidak amanah kepada rakyat.
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata Amanah sepatutnya
memberitahu umum bahawa Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH)
Selangor negeri itu sudah bermesyuarat empat kali begi membincangkan isu
agih kerusi.
"Amanah menipu. Apa yang Dr Mahathir kata adalah tiada jawatankuasa
khas. Apa yang Dr Mahathir (Mohamad) kata adalah kita ada jawatankuasa
yang ditubuhkan seperti negeri lain dan kita telah berjumpa empat kali.
"Amanah tidak berkata benar. Amanah tidak amanah. Kami sudah berjumpa
empat kali kecuali nama jawatakuasa itu sebelum ini 'Jawatankuasa
Pilihan Raya Negeri Selangor’ sekarang mereka mahu ubah kepada
‘Jawatankuasa Pengagihan Kerusi’, ahli jawatankuasa masih sama,” katanya
kepada pemberita, di sebuah majlis di Masjid Taman Tun Teja, Rawang,
hari ini.
Amanah Selangor sebelum ini mendesak agar PKR Selangor terutama Azmin
agar patuh pada pengumuman Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad agar
ditubuhkan satu jawatankuasa khas berhubung isu agih kerusi.
Ia susulan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar
bertegas mahu meneruskan rundingan itu menerusi Jawatankuasa Pilihan
Raya PH Selangor - yang sudah mengadakan empat kali mesyuarat.
Perkara itu dibantah tiga parti komponen PH yang lain Amanah, PPBM dan
DAP seraya mahukan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk tujuan itu.
Azmin dalam pada bertegas mahu meneruskan rundingan agih kerusi
sehingga keempat-empat parti komponen PH di Selangor mendapat konsensus.
“Kita sudah berjumpa empat kali bukan hanya untuk berbincang dengan
pembahagian kerusi, tetapi juga isu lain berkaitan persediaan Pilihan
Raya Umum ke-14.
“Sudah tentu rundingan kerusi adalah salah satu isu utama yang
dibincangkan dalam jawatankuasa, tetapi malangnya kami belum capai
konsensus empat parti dan saya rasa proses itu perlu diteruskan
(sehingga capai konsensus),” kata Azmin.
“Jadi adil di Selangor, awak mahu tetapkan tarikh akhir atau awak mahu
proses itu diteruskan hingga kita capai konsensus? Saya ingat
kedua-duanya penting?” katanya.
Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim sebelum ini memberitahu
Antarapos, PH Selangor diberi tempoh sehingga 7 Februari untuk
memuktamadkan agihan kerusi, selepas gagal berbuat demikian pada 31
Januari lalu.
No comments:
Post a Comment