SHAH ALAM: Ketika pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap bekas pemimpin
PPBM termasuk dituduh menerima dedak sebagai habuan untuk meninggalkan
parti itu, salah seorang bekas pengasasnya, Anina Saadudin, tampil
bersuara menjelaskan mengapa beliau memilih untuk keluar parti.
"Jika saya mahukan kerusi untuk bertanding dalam PRU sudah semestinya
saya memilih untuk kekal berada dalam PPBM. Tetapi saya memilih untuk
keluar dari PPBM pada 16 September 2017.
"Jika saya mahu kedudukan, saya boleh pilih untuk menyertai Umno
semula. Tetapi saya memilih untuk menubuhkan NGO sendiri," kata Anina
dalam satu posting di laman Facebook.
Anina kini merupakan Presiden NGO Empirical Malaysia, sebuah badan yang
ditubuhkannya untuk menjalankan kajian empirical untuk isu-isu orang
Melayu dan bumiputera.
Ketika bersama PPBM, Anina pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi PPBM,
sebelum kemelut dalaman yang menyaksikan beliau digugurkan daripada
memegang jawatan berkenaan.
"Sebagai seorang rakyat Malaysia yang sayangkan bangsa dan negaranya,
saya memilih untuk berdiri melontarkan pemikiran dan hati saya, melawan
arus yang deras demi memperbetulkan kesilapan saya pada bangsa saya
sendiri.
"Jika saya tidak merasa bertanggungjawab terhadap kerosakan yang
berlaku dalam kepincangan politik Melayu hari ini, saya boleh memilih
untuk duduk diam-diam dan pedulikan apa nak jadi pada orang Melayu,"
katanya.
Bercakap mengenai Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anina
berkata sekalipun beliau menyayangi pemimpin berkenaan, namun dirinya
'tidak boleh menyokong Tun M kerana sayang'.
"Hidup ini bukan hanya tentang kasih sayang. Soal negara bukanlah
seperti kisah Shah Jahan dan Mumtaz. Kerana cinta, rakyat menjadi
mangsa. Apakah erti kemenangan jika ianya dibina di atas timbunan
penderitaan orang lain?
"Saya telah memilih untuk tidak lagi menyokong Tun M bukan kerana saya
sudah tidak sayangkan Tun M. Hati saya sentiasa mengingati saat saya
duduk, berdiri, berjalan, berceramah di sisi Tun M.
"Saya rindu untuk berborak dan melihat wajah insan istimewa itu. Beliau
ada aura semulajadi yang membuatkan kita sayang padanya. Namun soal
tanggungjawab kepada negara itu adalah lebih besar dari kasih sayang
saya terhadap Tun M," demikian kata Anina.
Anina juga mendedahkan, beliau pernah melalui situasi hampir
diisytiharkan muflis, sehingga membuatkannya memilih untuk menyepikan
diri seketika bagi membangunkan kembali kedudukan kewangannya.
"Ketika itu, jika anda masih ingat ramai orang yang bertanya kan kenapa Anina Saadudin mendiamkan diri dari politik.
"Apabila segalanya stabil, baru lah saya melihat kembali arah politik saya.
"Akhirnya saya mengambil keputusan berani untuk keluar dari
persembunyian sendiri dan berdiri untuk menegakkan kebenaran. Saya tidak
mahu menjadi pendosa kepada bangsa.
"Kebenaran tidak perlu disembunyikan. Lambat laun ianya akan timbul.
Apa yang saya lakukan hari ini hanyalah tanggungjawab saya kepada agama,
bangsa dan negara kerana Allah," katanya lagi.
Anina mengumumkan keluar PPBM pada September 2017 kerana kecewa apabila
mendapati parti itu tidak lagi menepati prinsip perjuangan ketika
diasaskan, sebaliknya berasa diperalatkan untuk kepentingan politik
individu tertentu dan berlandaskan dasar kronisme.
No comments:
Post a Comment