Monday, February 19, 2018

15 penumpang cedera bas dinaiki terbabas

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MERSING: Seramai 15 penumpang cedera apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas ke parit di Kilometer 17 Jalan Nitar - Mersing berhampiran Ladang Felda Nitar Timur, 12.35 tengah malam tadi.
 
Bas itu dipandu lelaki berusia 59 tahun dari Melaka ke Mersing membawa 32 penumpang termasuk 10 pelajar Politeknik Mersing Johor (PMJ) yang dalam perjalanan pulang ke asrama mereka di sini, selepas bercuti sempena Tahun Baru Cina.
 
Akibat kemalangan itu, seorang penumpang wanita cedera di rusuk kiri dan patah tangan kiri, menerima rawatan di Hospital Mersing manakala penumpang lain menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Felda Nitar 1 dan Hospital Mersing.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Sarhan Akmal Mohamad, berkata operasi menyelamat dijalankan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.43 tengah malam.
 
Enam anggota bomba dengan satu jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi.
 
"Setiba di lokasi, beberapa penumpang bas serta pemandu dikeluarkan sebelum diberi rawatan oleh pasukan paramedik," katanya dilapor BH Online.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata siasatan awal mendapati bas itu hilang kawalan lalu terbabas ke parit di tepi jalan.
 
Katanya, ketika kejadian cuaca baik dan tidak hujan, bagaimanapun, lokasi kejadian adalah selekoh tajam.
 
"Pemandu bas dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing bagi membantu siasatan," katanya.
 
 

No comments: