Sunday, October 1, 2017

Saya takkan khianati Umno - Siti Zaharah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman berkata beliau tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan Umno dengan menyertai parti lain.
 
Siti Zaharah yang kini merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Paya Besar itu menambah, beliau sebati dengan Umno kerana sudah hampir 40 tahun berjuang bersama parti keramat Melayu itu.    
 
“Saya masih merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Paya besar dan perjuangan saya dari dahulu adalah bersama Umno.
 
“Mana mungkin saya akan mengkhianati parti keramat orang Melayu ini. Saya sudah 40 tahun bersama dan berjuang dalam Umno, saya tidak akan merosakkan taat setia serta kejujuran saya terhadap Umno,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
 
Sebelum ini tersebar khabar mengatakan beberapa tokoh terkemuka akan mengumumkan menyertai PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, malam tadi sekaligus menjadi kejutan pada program yang berlangsung selama dua hari itu.  
 
Nama Siti Zaharah merupakan antara yang meniti di bibir, disebut-sebut sebagai antara tokoh yang akan menyertai PAS.
 
Bagaimanapun kejutan yang diuar-uarkan itu hanyalah pengumuman dua bekas pegawai kanan perkhidmatan kerajaan yang tampil menyatakan sokongan kepada parti itu.
 
Kedua-dua mereka adalah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar dan bekas pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud.
 
Malah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mengumumkan dirinya tidak akan menyertai PAS sebaliknya hanya tampil memberikan sokongan kepada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu. 
 
Dalam pada itu Siti Zaharah berkata dakwaan yang mengatakan beliau akan menyertai PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp semalam. 
 
“Saya tidak pernah dan tidak akan berganjak daripada perjuangan saya bersama dengan Umno
 
“Bagaimanapun, ini adalah asam garam politik dan sebagai orang politik kita perlu menerima hakikat ini,” kata Zaharah yang juga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu.
 
 

No comments: